Baru-baru ini, saya menghadiri satu pameran kesihatan peringkat antarabangsa.
Pameran tersebut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik dan saya sendiri telah berjaya mempelajari pelbagai perkara baharu semasa di sana. Syabas saya ucapkan kepada pihak penganjur.
Namun, saya ingin membuat satu teguran tentang acara-acara yang disusun semasa pameran berkenaan. Saya dapati program senamrobik yang diadakan, dalam masa dan di lokasi yang sama, agak mengganggu para hadirin untuk bertanyakan maklumat semasa melawat pameran tersebut.
Saya rasa gangguan itu turut dirasai oleh pengunjung lain dan juga petugas semasa pameran. Kami sekali-sekala berpandangan sesama sendiri kerana terganggu dengan muzik yang terlalu kuat.
Menurut pempamer, aktiviti senamrobik seperti itu diadakan beberapa kali dan mereka juga mengalami kesukaran berkomunikasi dengan pengunjung pada hari sebelumnya.
Saya memahami senamrobik merupakan aktiviti menarik dan berkait rapat dengan tema pameran, tetapi saya harap pihak penganjur perlu mengambil kira kesesuaian lokasi dan waktu pada masa akan datang.
Awang Jo







