Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium Agung Mesir dibanjiri pelawat sejak dibuka

    KAHERAH, 17 NOV – Muzium Agung Mesir melaksanakan beberapa langkah baharu bagi mengawal lonjakan pengunjung yang membanjiri muzium itu untuk melihat koleksi artifak Mesir purba sejak pembukaannya dua minggu lalu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
     
    Mulai hujung minggu ini, tiket hanya boleh ditempah mengikut slot masa tertentu bagi memudahkan kawalan aliran pelawat.
     
    Bermula awal Disember hingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, pelawat juga dikehendaki membeli tiket secara dalam talian sebelum membuat kunjungan, menurut kenyataan pentadbiran muzium.
     
    Muzium itu, yang terletak berhampiran Piramid, dibuka pada 1 November dalam satu majlis mewah yang dihadiri puluhan pemimpin dunia dan wakil media.
     
    Jurucakap muzium berkata purata sekitar 19,000 pengunjung sehari untuk melihat koleksi yang merangkumi makam Firaun Tutankhamun dan perahu suria sepanjang 42 meter milik Raja Khufu atau Cheops. 
     
    Angka ini melebihi jangkaan pihak berkuasa Mesir.
     
    Akhbar Mesir, al-Masry al-Youm melaporkan peningkatan ketara minat rakyat Mesir terhadap sejarah negara mereka susulan liputan media besar-besaran mengenai pembukaan muzium itu.
     
    Jika jumlah pelawat kekal sepanjang tahun, Muzium Agung Mesir dijangka menjadi antara muzium paling ramai dikunjungi di dunia.
     
    Hanya Louvre di Paris dan Muzium Negara China di Beijing mencatat purata pelawat yang lebih tinggi tahun lalu. – Bernama
     
    Kapal suria Khufu dipamerkan di Muzium Agung Mesir berhampiran piramid Giza di Kaherah pada 4 November lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda