Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium Agung Mesir mercu tanda baharu, tarikan pelancong

    KAHERAH, 2 NOV – Mesir secara rasmi membuka Muzium Agung Mesir (GEM) kelmarin, sebuah projek bernilai berbilion dolar yang telah lama dinantikan, mempamerkan keagungan tamadun firaun, dengan harapan dapat menghidupkan semula sektor pelancongan dan memperkukuh ekonominya yang terjejas.

    “Pada hari ini, ketika kita meraikan bersama pembukaan Muzium Agung Mesir, kita sedang menulis bab baharu dalam sejarah masa kini dan masa depan,” kata Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi kepada para kenamaan yang hadir di dataran muzium itu.

    Muzium seluas setengah juta meter persegi itu menempatkan sekitar 100,000 artifak, separuh daripadanya dipamerkan yang berusia lebih enam milenium.

    Para tetamu yang hadir di majlis pembukaan turut menyaksikan persembahan cahaya dan muzik dengan latar belakang piramid yang megah.

    Puluhan penghibur berpakaian lengkap kostum firaun mempersembahkan muzik tradisional, diiringi pertunjukan laser berbentuk imej firaun serta bunga api yang menerangi langit malam di atas muzium.

    Pertunjukan laser yang menggambarkan sarkofagus Raja Mesir Tutankhamun menerangi langit semasa upacara pembukaan GEM di Giza pada 1 November. – AFP

    Di skrin gergasi, tayangan sambutan di Tokyo dan Rio de Janeiro dipaparkan dengan latar belakang monumen purba Mesir.

    “Ia adalah bukti hidup kepada kegeniusan insan Mesir,” ujar Sisi merujuk kepada muzium berprestij itu.

    Pada pagi kelmarin, laluan di sekitar muzium ditutup dan kawalan keselamatan diperketatkan menjelang pembukaan rasmi, dengan kain rentang gergasi dipasang pada bangunan dan rentangan jalan bagi mempromosikan acara tersebut.

    “Inilah impian yang kita semua bayangkan. Kita semua bermimpi projek ini dapat direalisasikan,” kata Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly pada sidang media di Kaherah, kelmarin.

    Terletak di lereng bukit menghadap Dataran Tinggi Giza, tepat di sebalik bayang-bayang piramid, muzium itu dibina dengan sokongan kewangan dan teknikal utama dari Jepun, meliputi keluasan hampir setengah juta meter persegi.

    Madbouly berkata, “Sebahagian besar pembinaan, kerja akhir dan penyempurnaan mercu tanda global ini berlaku sepanjang tujuh hingga lapan tahun yang lalu.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda