KAHERAH, 5 NOV – Muzium Agung Mesir membuka pintunya kepada orang ramai kelmarin selepas majlis perasmian megah yang dihadiri oleh golongan diraja dan ketua negara.
Projek mega bernilai AS$1 bilion itu dipromosikan sebagai muzium terbesar di dunia yang didedikasikan kepada satu tamadun, dengan hampir 50,000 artifak dipamerkan. Buat pertama kali, para pengunjung dapat mengagumi koleksi penuh khazanah dari makam Firaun terkenal, Raja Tutankhamun, yang ditemui pada tahun 1922.
“Kebanyakan khazanah Tutankhamun sebelum ini berada di muzium lama Mesir,” kata Ketua Pegawai Eksekutif muzium berkenaan, Ahmed Ghoneim kepada pemberita.
“Namun, sebahagiannya tersebar di muzium lain dan ada juga yang disimpan dalam stor. Mengumpulkan semua khazanah itu di satu tempat menjadikan pengalaman lawatan ke muzium ini lebih bermakna.”
Pengunjung berpusu-pusu ke galeri khas yang menempatkan lebih 5,000 artifak termasuk barang kemas, kereta kuda berlapis emas dan topeng kematian emas milik raja muda itu.
“Ia sangat menakjubkan, terutama topeng emasnya,” kata Nikolas Voulgarakis, seorang pelancong dari Greece.
Muzium yang terletak berhampiran piramid di pinggir Kaherah itu dijangka dapat meningkatkan hasil pelancongan Mesir dan membantu merancakkan semula ekonomi negara yang sedang bergelut.
“Kami menjangkakan tujuh juta pengunjung setahun,” kata Ghoneim sambil menambah bahawa had maksimum 20,000 pengunjung setiap hari akan dikenakan bagi memastikan pengalaman yang selesa untuk semua.
Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sissi merasmikan muzium tersebut hujung minggu lalu selepas hampir dua tahun dibuka secara berperingkat, di mana pengunjung hanya dibenarkan melawat sebahagian kawasan muzium. – AP

