Wednesday, February 12, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium berusia 146 tahun kumpul dana AS$3.4 juta

    TOKYO, 9 OGOS – Muzium kedua tertua di Jepun telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak AS$3.4 juta melalui kempen crowdfunding selepas dilaporkan bahawa sokongan kewangan tambahan telah ditolak untuk menampung peningkatan kos utiliti bagi memulihara koleksi spesimen haiwan dan tumbuhannya.

    Lebih 30,000 orang telah menyumbangkan sejumlah 480 juta yen kepada Muzium Alam Semula Jadi dan Sains Kebangsaan di Tokyo, jumlah yang melebihi sasaran awal 100 juta yen, seperti yang diumumkan oleh platform kempen READYFOR hari ini.

    Ketua muzium, Kenichi Shinoda berkata dalam video yang diumumkan Isnin lalu bahawa mereka berusaha untuk menyelamatkan koleksi muzium, itu, yang dianggapnya sebagai ‘hadiah dari masa lalu untuk masa depan.’

    Beliau berkata bil tenaga untuk menyimpan lima juta artifaknya, termasuk tulang dinosaur hingga beruang gergasi, yang diawet pada suhu dan tahap kelembapan yang malar dijangka meningkat hampir dua kali ganda pada fiskal tahun ini kepada lebih AS$2.6 juta.

    Kerajaan Jepun yang kekurangan dana menolak permintaan muzium untuk mendapatkan lebih banyak pembiayaan, malah mengurangkan subsidinya, menurut laporan media.

    Muzium di tengah Tokyo, yang menampilkan model ikan paus biru di luar, sebelum ini telah beralih kepada kempen crowdfunding bagi tiga projek kecil. Namun, matlamat kewangan sebanyak 100 juta yen untuk kempen itu dianggap ‘paling tinggi sepanjang sejarah’ menurut Shinoda.

    Shinoda berkata dalam video itu beberapa orang telah menasihatinya untuk menurunkan sasaran kewangan, tetapi ia telah pun tercapai hanya dalam masa beberapa jam sahaja. – AFP

    Seorang wanita berjalan melepasi model ikan paus biru bersaiz penuh di luar Muzium Alam Semula Jadi dan Sains Negara di Taman Ueno, Tokyo, 9 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda