Friday, March 7, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium Besar Mesir bakal dibuka pada 3 Julai

    KAHERAH, 6 MAC – Muzium Besar Mesir (GEM) yang terletak berhampiran Piramid Giza kini dalam persiapan akhir untuk pembukaan rasmi yang dijangka berlangsung dengan penuh gilang-gemilang pada 3 Julai.

    Selepas dua dekad perancangan, muzium ini akan menampilkan lebih 100,000 artifak, termasuk harta karun emas Tutankhamun serta patung gergasi Ramses II.

    Pembukaan penuh itu dibuat selepas beberapa kali tertangguh akibat ketidakstabilan politik, krisis ekonomi dan pandemik global.

    Pengarah muzium, Ahmed Ghoneim, memaklumkan bahawa majlis perasmian boleh berlangsung selama beberapa hari, dengan sambutan meluas bukan sahaja di muzium dan kawasan piramid, tetapi juga di pelbagai lokasi di Mesir serta di luar negara.

    “Ia akan menjadi pameran luar biasa yang menonjolkan kekayaan sejarah dan daya tarikan pelancongan Mesir,” kata Ghoneim kepada stesen televisyen ON TV.

    Patung-patung purba Mesir dipamerkan di Muzium Besar Mesir di Giza pada 15 Oktober lalu. – AFP

    Presiden Abdel Fattah al-Sisi telah menjemput Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Raja Felipe VI dari Sepanyol untuk menghadiri upacara bersejarah itu.

    “Muzium ini adalah muzium terbesar di dunia yang dikhususkan untuk satu peradaban, iaitu tamadun Firaun,” ujar Sisi pada Disember lalu.

    Meliputi kawasan seluas 50 hektar, GEM adalah dua kali ganda lebih besar daripada Louvre di Paris dan Metropolitan Museum di New York, serta dua setengah kali saiz Muzium British, menurut pengarahnya.

    “Landskap Mesir banyak menyumbang kepada tamadun yang kaya ini dan kami mahu mencerminkannya dalam reka bentuk muzium,” kata Roisin Heneghan, pengasas bersama firma seni bina Heneghan Peng Architects dari Dublin, yang bertanggungjawab mereka bentuk muzium tersebut.

    “Para pengunjung akan melihat artifak dalam konteks asalnya berdekatan dengan piramid, mengingatkan mereka tentang tempat asal tinggalan bersejarah ini,” katanya kepada wartawan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda