LELAKI berkepala botak itu kelihatan tekun menyusun beberapa biji botol kaca di atas rak kayu yang disediakan.
Usai menyusun, dia mengambil sebiji botol susu lama yang tersimpan di suatu sudut lalu membelek dengan berhati-hati.
Senyuman terukir di bibir Paul Luke mungkin kerana terkenangkan semula nostalgia sewaktu dia mula-mula bekerja sebagai penjual susu di Stanford-le-Hope, Essex, England.
“Botol ini adalah botol susu pertama yang disimpan semasa bekerja sambilan sebagai pembantu penjual susu. Ketika itu, saya hanya berusia sembilan tahun dan membantu menjual susu bagi mendapatkan sedikit duit poket.
“Sungguh tidak disangka bermula dengan satu botol susu, saya kini mempunyai beribu-ribu koleksi botol susu daripada berbagai-bagai jenama,” katanya seperti dipetik portal Mail Online.

Dari hari ke hari, koleksi lelaki berusia 40 tahun itu semakin bertambah sehingga ruang di dalam rumahnya tidak lagi dapat menampung jumlah botol susu yang mencecah puluhan ribu.
Keadaan itu memaksa Luke membina sebuah rumah kecil dipanggil muzium mini di kawasan taman di belakang rumahnya untuk memuatkan kesemua botol susu berkenaan.
Luke memberitahu, sejak memulakan hobi itu kira-kira 30 tahun lepas, dia sudah memiliki lebih daripada 10,000 biji botol susu.
“Ada antara koleksi tersebut jarang ditemui dan berusia ratusan tahun termasuk salah satu botol yang datang dari tahun 1890an. Botol kacanya berwarna hijau kerana pada waktu itu, negara masih belum maju dalam pembuatan kaca,” ujarnya.
Label
Luke memberitahu, antara koleksi kesayangannya yang lain termasuklah sebiji botol susu dengan iklan emping jagung Kelloggs pada labelnya.
“Ia begitu menarik perhatian saya. Saya mula mengumpulnya ketika membantu menjual susu di sekolah.
“Dari situ saya terfikir ia mungkin boleh menjadi hobi menarik dan mula mengumpul botol-botol susu lain dengan rekaan label berbeza,” ceritanya.
Koleksi botol-botol susu yang dikeluarkan pada tahun 1950-an juga menjadi kegemarannya kerana ketika itu, syarikat tenusu mengiklankan label susu dengan menggunakan tiga ke empat warna, biasanya untuk telur dan mentega.
“Setiap rekaan menampilkan ciri-ciri individu syarikat tenusu itu. Ada antara syarikat berkenaan sudah tiada dan ada juga yang dijenama semula. Koleksi saya adalah rekod kepada industri susu dunia,” ujarnya bangga.
Tertarik dengan kerjaya sebagai penjual susu, bapa kepada seorang anak itu terus mengumpul lebih banyak botol susu berbagai jenama selepas memilih untuk menjadi penjual minuman itu.
“Ibu dan bapa saya tidak pernah menghalang minat saya mengumpul botol-botol susu bahkan mereka beranggapan hobi ini sedikit sebanyak mengelakkan saya daripada terjebak dengan perkara tidak berfaedah,” katanya.
Edisi terhad
Tinggal di Stanford-le-Hope bersama isteri dan anak perempuannya, Luke menubuhkan sebuah laman web khas Milk Bottle News khusus buat peminat serta pengumpul botol susu sepertinya.
“Sebahagian daripada botol susu yang ada dalam himpunan saya adalah koleksi edisi terhad dan tidak dikeluarkan lagi. Jadi, ia tidak boleh didapati di mana-mana dan hanya wujud di muzium ini.
“Pun begitu, saya tidak pernah meletakkan sebarang harga kepada koleksi berkenaan kerana ia bukan untuk dijual bagi tujuan komersial. Ia adalah sebahagian daripada rekod sejarah,” jelasnya. Luke berkata, di muzium mininya itu, dia mempamerkan himpunan koleksi botol susu tersebut untuk tatapan umum.
Meskipun sudah tidak bergelar penjual susu, Luke yang kini bekerja sebagai wakil jualan di firma tenusu Hertfordshire masih obses dengan hobi mengumpul botol minuman itu.
“Saya masih aktif mengumpul botol-botol susu yang dijual di pasaran hari ini. Selain itu saya turut memiliki mesin penyukat dan penggodak susu lama yang digunakan sebelum botol susu diperkenalkan.
“Pada masa dahulu, susu biasanya dicedok masuk daripada mesin penggodak ke dalam jag pelanggan. Kaedah itu dilihat tidak begitu bersih jadi ia adalah satu langkah keusahawanan baik oleh syarikat tenusu untuk memperkenalkan botol,” jelasnya. – Agensi