Saturday, February 15, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium British temui semula sebahagian 2,000 objek dicuri

    LONDON, 27 OGOS – Ketua Lembaga Pengarah di Muzium British berkata kelmarin bahawa muzium tersebut berjaya mendapatkan semula sebahagian daripada 2,000 objek yang dipercayai dicuri oleh orang dalam, tetapi mengakui bahawa institusi berusia 264 tahun itu tidak mempunyai rekod untuk setiap objek dalam koleksinya.

    Pengerusi Lembaga Pengarah, George Osborne berkata reputasi muzium itu telah terjejas akibat pengendalian yang tidak cekap terhadap kecurian itu, yang telah mencetuskan peletakan jawatan pengarahnya dan menimbulkan persoalan mengenai keselamatan dan kepimpinan.

    Osborne memberitahu BBC kelmarin bahawa 2,000 barang yang dicuri adalah angka yang bersifat sementara dan kakitangan sedang berusaha untuk mengenal pasti semua yang hilang. Barangan itu termasuk perhiasan emas, batu permata dan barang antik berusia 3,500 tahun. Tiada yang dipamerkan kepada umum baru-baru ini.

    Beliau berkata muzium itu bekerjasama dengan komuniti ahli arkeologi dan pakar pemulihan seni untuk mendapatkan semula barangan itu.

    “Kami percaya kami telah menjadi mangsa kecurian dalam tempoh yang lama dan, terus terang, lebih banyak perkara boleh dilakukan untuk mencegahnya,” katanya.

    “Tetapi saya berjanji kepada awda bahawa ia adalah masalah yang akan kami selesaikan.”

    Pengarah Muzium, Hartwig Fischer, mengumumkan peletakan jawatannya baru-baru ini, memohon maaf kerana gagal memandang serius amaran daripada ahli sejarah seni bahawa artifak daripada koleksinya dijual di eBay. Timbalan Pengarah, Jonathan Williams, juga berkata beliau akan meletak jawatan sementara semakan insiden itu dijalankan. – AP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda