ROM, 19 Jun – Sebuah muzium di Itali melancarkan usaha memburu dua pelancong pertengahan umur yang secara tidak sengaja hampir memusnahkan sebuah karya seni semasa bergambar – satu insiden yang kini tular di media sosial.
Rakaman video yang dikeluarkan oleh Palazzo Maffei menunjukkan pasangan tersebut saling mengambil gambar sambil berpura-pura duduk di atas sebuah kerusi yang dilitupi kristal, hasil ciptaan artis Nicola Bolla – yang digambarkan oleh muzium tersebut sebagai karya yang ‘amat rapuh’.
Dalam rakaman tersebut, wanita berkenaan dilihat mencangkung tanpa menyentuh kerusi yang dinamakan Van Gogh’s Chair yang dihiasi kristal Swarovski. Namun lelaki itu pula dilihat kurang berhati-hati – dia terduduk betul-betul di atas kerusi tersebut sebelum tergelincir ke belakang apabila struktur kerusi tidak dapat menampung berat badannya.
Pasangan itu kemudian dilihat melarikan diri dari bilik pameran, dalam satu klip video yang mendapat perhatian ramai hujung minggu lalu.
Palazzo Maffei menyifatkan kejadian itu sebagai ‘mimpi ngeri bagi setiap muzium’ dan memaklumkan kepada AFP pada Isnin bahawa mereka telah membuat laporan polis, walaupun tidak menyatakan tarikh aduan tersebut difailkan.
Dalam satu hantaran di media sosial Khamis lalu, pihak muzium menyatakan insiden itu berlaku kurang empat minggu lalu dan kerusi berkenaan telah dibaiki.
“Itu satu perbuatan yang dungu,” kata Bolla kepada majalah Itali, Fanpage.
Namun begitu, artis itu turut menyatakan bahawa dia dapat melihat sisi ‘positif’ daripada insiden tersebut.
“Ia seolah-olah menjadi sejenis persembahan. Orang biasa juga boleh melakukannya, bukan hanya artis,” katanya. – AFP
