ANKARA – Di bandar lama ibu kota Turkiye, sebuah muzium catur yang unik menawarkan pengunjung perjalanan merentasi masa dan ruang dengan set-set yang mewakili pelbagai budaya dan tradisi dari seluruh dunia.
Perang antara Napoleon Bonaparte dan British, pertempuran terkenal pada zaman Uthmaniyyah, filem blockbuster seperti Lord of the Rings dan Star Wars, dan juga siri kartun ikonik Smurfs dan Asterix antara beberapa set yang dipamerkan di Muzium Gokyay Foundation Chess, yang menempatkan 727 set catur yang dikumpulkan dari 110 negara.
Beberapa set dari China amat menarik, seperti replika catur Pahlawan Terracotta, patung bersaiz sebenar yang menjaga makam maharaja pertama China, Qin Shi Huang.
Kurator dan pengasasnya, Akin Gokyay, 82, adalah seorang peguam. Walaupun minatnya terhadap permainan catur bermula sejak beberapa tahun lalu, dia tidak pernah menjangkakan bahawa koleksinya akan cukup kaya untuk mengisi muzium dan menempa nama dalam Guinness World Record.
“Pada 1975 ketika saya melancong di Milan, Itali, saya melihat dan membeli set catur yang cantik. Saya tidak berniat untuk memulakan koleksi,” katanya kepada Xinhua dalam satu temu bual.
“Ia bermula dengan satu set dan berkembang menjadi lima, 10, dan 20 set dari semasa ke semasa. Kemudian semasa setiap lawatan ke luar negara, saya mula mencari set catur berbeza yang mencerminkan budaya, sejarah dan nilai negara yang saya lawati,” kata Gokyay.
Akhirnya, apabila koleksi Gokyay terus berkembang, isterinya mencadangkan agar dia berkongsi dengan orang ramai. Itu menjadi langkah pertama untuk menubuhkan muzium.
Muzium ini merangkumi kawasan seluas 1,000 meter persegi dalam sebuah rumah lama di Hamamonu, kawasan pelancongan ibu kota Turkiye. Ia menerima Guinness World Record untuk koleksi catur terbesar di dunia pada 2012 dan diberi gelaran ‘muzium terbaik Ankara’ pada 2017.
Setiap tahun, set baharu dipilih dengan teliti untuk bahan dan pembaharuan tematik mereka dan ditambah kepada koleksi yang mengagumkan.
Salah satu yang lebih baharu ialah set pereka Turkiye yang ideanya adalah untuk mencipta karya yang mungkin telah dimainkan di antara manusia gua puluhan ribu tahun yang lalu, jadi ia dibuat semata-mata daripada batu kerikil.
Gokyay berkata bahawa permainan catur boleh dimainkan oleh semua peringkat umur dan semua bahasa, merangsang pemikiran analitikal dan pemikiran kanak-kanak, dan mempunyai makna simbolik keamanan yang unik.
“Awda boleh bermain catur dengan seseorang yang awda tidak kenal dan tidak berkongsi bahasa.
“Awda masih boleh bermain catur selama berjam-jam. Ia adalah perkara yang sangat beradab,” tegas kurator itu.
Gagin Engin, seorang pelajar universiti berusia 23 tahun yang melawat muzium itu, berkata dia terkejut apabila mendapati begitu banyak papan catur di bawah bumbung yang sama.
“Ia bukan sahaja sangat menarik untuk seseorang seperti saya yang suka bermain permainan ini, tetapi juga untuk orang lain yang dapat melihat banyak budaya dunia di satu tempat,” katanya.
Pelajaran dan bengkel catur juga ditawarkan di muzium berkenaan kepada pemain pemula, pertengahan, dan juga kepada pemain catur yang mahir. – Xinhua