Wednesday, December 25, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium ceritakan sudut pandangan orang asli

    NEW YORK – Semasa lawatan pertamanya ke Muzim Sejarah Semula Jadi Amerika, Morgan Guerin mempunyai beberapa senarai. Bukan senarai perkara yang ingin dilawatinya, akan tetapi ia adalah perkara-perkara yang tidak disukainya.

    Lawatannya bermula dengan melihat beberapa pakaian tertentu di Musqueam Indian Band – yang dianggap sebagai objek suci bukan untuk tontonan orang ramai – di Northwest Coast Hall di muzium berkenaan.

    Guerin, yang juga merupakan orang asli, bukan membuat lawatan itu untuk bersuka-suka akan tetapi ia adalah atas jemputan muzium itu pada 2017 bagi memulakan projek pengubahsuaian dewan muzium, dengan menggabungkan sudut pandangan orang asli.

    Projek pengubahsuaian tersebut mengambil masa selama lima tahun dan menelan belanja AS$19 juta untuk disiapkan sepenuhnya. Ia akan dibuka kepada orang awam bermula Jumaat dan sebagai peluang untuk menceritakan lebih banyak tentang sudut pandangan orang asli.

    “Golongan orang asli sudah serik ‘dikaji’ kerana sering diberikan tanggapan salah selalu dipinggirkan oleh orang luar,” katanya. “Kami sentiasa berada di sini, sedia untuk memberitahu semua siapa kami sebenarnya.”

    Lauri Halderman semasa sesi bergambar dan dikelilingi oleh artifak-artifak di muzium tersebut. – AP
    Antara artifak-artifak mengenai budaya suku asli di Amerika Utara dipamerkan di muzium berkenaan. Ia adalah galeri tertua dalam sejarah Muzium Alam di Amerika. – AP

    Dewan itu merupakan galeri pertama muzium, dibuka pada 1899 oleh Franz Boas, ahli antropologi yang sangat berminat dengan budaya orang asli. Beliau juga merupakan penyokong idea revolusi bahawa budaya yang berbeza harus dipandang mengikut hak mereka dan bukannya sebagai perbandingan.

    Sejak awal 1900an, sebahagian besar muzium tersebut tidak berubah tetapi apabila pegawai muzium memutuskan untuk mengubah suai tempat tersebut, mereka tahu bahawa mereka tidak boleh melakukannya tanpa bantuan daripada orang asli.

    Naib presiden untuk pameran tersebut, Lauri Halderman, mengatakan bahawa mereka perlu melakukan banyak perkara untuk membawa masuk koleksi bersejarah tersebut ke abad ke-21 yang boleh menceritakan kisah baharu mengenai komuniti itu dan negara.

    Muzium tersebut telah menghimpunkan wakil masyarakat orang asli untuk membantu dengan perkara yang patut diterapkan dalam galeri berkenaan dan reka bentuk yang sepatutnya mempamerkan 10 puak di negara Barat Laut Pasifik.

    Proses itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan, lebih-lebih lagi disebabkan oleh kesan daripada wabak yang telah menyukarkan kerjasama di mana ia terpaksa dilakukan secara berjauhan berbanding dengan bersemuka.

    Halderman berkata bahawa mereka tidak mempunyai pelan kukuh untuk proses pengubahsuaian itu. Mereka hanya memikirkannya ketika proses pengubahsuaian sedang berjalan. Ia memerlukan kerja keras. Akan tetapi ia berlaku di luar jangkaan apabila semua orang datang membantu dan mengatakan betapa bangganya mereka.

    Dewan tersebut memiliki beberapa kepingan yang dianggap ikonik yang akan diingati oleh sesiapa sahaja yang pernah melawat muzium berkenaan, ia termasuk juga dengan kanu besar sepanjang 63 kaki yang selama ini diletakkan di luar dewan tetapi kini telah dibawa masuk dan dipamerkan bersama beberapa ukiran besar.

    Ciri-ciri baharu yang terdapat dalam muzium tersebut ialah benda yang dipamerkan akan disertakan dengan teks bahasa Inggeris dan asli. Dewan itu juga merangkumi sebuah galeri yang menunjukkan cara artis muda dari orang asli menggunakan motif dan reka bentuk daripada generasi terdahulu.

    Selain itu, terdapat juga video yang memperlihatkan mengenai orang yang bercakap tentang puak pada masa lalu dan kebimbangan yang mereka hadapi pada masa kini.

    Walau bagaimanapun, pada awalnya terdapat beberapa persoalan sama ada muzium tersebut patut memiliki koleksi berkenaan dan adakah perlu untuk muzium itu menceritakan mengenai sejarah mereka, memandangkan unsur-unsur daripada barangan budaya mereka yang telah dicuri dan penjajahan yang berlaku serta layanan yang telah diberikan kepada orang asli selama ini.

    Muzium itu “dilihat berfungsi sebagai Muzium Sejarah Semula Jadi Amerika yang paling bernilai, dan barangkali pameran paling bernilai di dunia,” kata kurator bersama, Haa’yuups, Ketua Dewan Takiishtakamlthat-h.

    “Mereka sepertinya memiliki bahasa meta mengenai mereka atau mesej meta yang berbunyi: Bukankah kita berkuasa? Bukankah kita menguasai dunia?” katanya.

    Beliau melihat penglibatannya itu sebagai salah satu cara untuk membantu mencetuskan perbezaan antara mereka yang membuat orang ramai berfikir jika barangan yang dipamerkan akan dilayan dengan lebih baik dengan pemilik asal barangan tersebut.

    Kurator etnologi Amerika Utara, Peter Whiteley berkata bahawa perkara tersebut adalah isu yang dihadapi oleh muzium dan masih lagi mengalami kesukaran dengannya.

    Beliau juga turut mengongsikan mengenai institusi yang telah menghantar pulang barangan selama bertahun-tahun, yang telah memutuskannya melalui proses pengubahsuaian bahawa ia bersedia untuk melakukan beberapa penghantaran pulang tambahan ke tempat asalnya dan membina kerjasama yang lebih erat antara muzium dan suku asli.

    Salah seorang daripada suku orang asli dan kakitangan muzium yang mengambil bahagian dalam proses tersebut mengatakan bahawa perkara itu menimbulkan kemungkinan dari segi kerjasama dan mengambil peduli mengenai pendapat orang asli. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda