Muzium Daerah Belait sarat aktiviti percutian sekolah

Oleh Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Dengan musim cuti persekolahan telah bermula, ahli keluarga di Daerah Belait memanfaatkannya dengan membawa anak-anak mereka melawat sambil belajar di Muzium Daerah Belait yang mana telah mengadakan beberapa siri aktiviti di muzium tersebut di sepanjang Jalan Maulana yang terletak berdekatan dengan Padang Panglima, Kuala Belait.

Dengan hari pertama yang berlangsung hari ini, pengunjung muzium bukan sahaja dapat melihat banyak pameran yang terdapat di sekitar muzium, seperti mengenali sejarah, warisan budaya dan tradisi di Daerah Belait; tetapi para pengunjung juga dapat mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan di muzium tersebut.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Muzium-muzium, Dayang Mariani binti Abu Bakar, menyatakan bahawa aktiviti yang dilakukan di muzium ini adalah yang julung kali diadakan dan menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran dan menarik pengunjung untuk datang ke muzium dengan meluangkan masa bersama keluarga sambil memperoleh pengetahuan dari banyak pameran di muzium.

“Di Muzium Daerah Belait, antara aktiviti yang diadakan meliputi pameran permainan tradisional, aktiviti mewarna dan kuiz, kegiatan Inter’Art’ive Origami, serta penjualan buku yang terdiri daripada berbagai jenis buku yang berkaitan dengan sejarah Daerah Belait”

Walaupun galeri-galeri di Muzium Daerah Belait kecil, banyak kegiatan yang dilakukan untuk mendedahkan mengenai budaya dan tradisi yang berkaitan dengan Daerah Belait; galeri yang terdapat di muzium ini merangkumi Galeri Budaya, Sejarah (Pentadbiran dan Pembangunan Daerah Belait), Sejarah Minyak dan Gas, Sejarah Alam, dan juga Galeri Sementara.

Antara kanak-kanak yang mengikuti aktiviti yang diadakan di Muzium Daerah Belait.

Dayang Mariani juga turut menekankan galeri tersebut dipenuhi dengan kanvas dan seni batik yang dilukis sebagai sebahagian daripada Trio Battle yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium-muzium Brunei pada awal Ogos tahun ini; dan galeri sementara akan kekal di Muzium Daerah Belait hingga November tahun ini.

Dengan semua aktiviti yang dianjurkan akan membantu mendorong pengunjung datang ke muzium sambil memberikan pemahaman yang lebih baik, terutama bagi para belia tentang bagaimana budaya dan tradisi masa lalu masih relevan dan bagaimana ia mempengaruhi masa kini dan masa depan negara.

“Kami ingin orang ramai terus datang mengunjungi muzium, menjadikannya sebagai budaya dan bukan hanya sekadarsatu lawatan sahaja kerana mengunjungi muzium dapat membantu mendapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai budaya dan sejarah kita, di samping dapat membantu meningkatkan lagi semangat patriotisme dan penghargaan untuk negara kita,” tambahnya.

Muzium Daerah Belait dijadualkan meneruskan aktiviti mereka sepanjang minggu sehingga 17 September dan juga Sabtu ini, 19 September.

Oleh itu, bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai muzium dan juga aktiviti yang akan diadakan bolehlah mengikuti media sosial rasmi mereka di Instagram dan Facebook atau boleh menghubungi mereka melalui alamat e-mel mereka di [email protected] dan di laman web mereka di www.museums.gov.bn.