THE HAGUE, 6 JULAI — Dua muzium Belanda akan mengembalikan ratusan artifak budaya kepada Indonesia dan Sri Lanka dari meriam yang dihias dengan mewah kepada logam berharga dan barang kemas yang telah diambil, selalunya secara paksa, pada zaman kolonial.
Kerajaan mengumumkan pengembalian semula 478 ‘objek budaya’ hari ini. Beberapa negara Barat sedang memulangkan artifak yang dirampas dan objek lain sebagai sebahagian daripada penyesalan terhadap sejarah penjajah mereka yang kejam.
Sebuah muzium di Berlin mengumumkan pada Januari bahawa ia bersedia untuk memulangkan ratusan tengkorak manusia dari bekas jajahan Jerman di Afrika Timur. Pada 2021, Perancis berkata ia mengembalikan patung, takhta diraja dan mezbah suci yang diambil dari negara Afrika Barat, Benin. Dan pada tahun lalu, Belgium memulangkan gigi bersalut emas milik wira kemerdekaan Congo yang terbunuh, Patrice Lumumba.
“Ini adalah detik bersejarah. Ini adalah kali pertama, berdasarkan nasihat Jawatankuasa Penasihat Mengenai Pemulangan Objek Budaya dari Konteks Kolonial, kami mengembalikan objek yang tidak sepatutnya berada di Belanda,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri bagi Kebudayaan dan Media, Gunay Uslu. – AP