Sunday, February 23, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium London kembalikan 72 artifak Afrika yang dirampas

    LONDON, 8 OGOS – Sebuah muzium terkemuka di United Kingdom (UK), kelmarin, mengumumkan pihaknya merancang untuk memulangkan 72 artifak Afrika yang dirampas ketika zaman penjajahan Empayar British.

    Muzium Horniman di selatan London bersetuju untuk mengembalikan artifak terkenal, termasuk beberapa gangsa Benin, kepada kerajaan Nigeria selepas menerima permintaan daripada Suruhanjaya Kebangsaan bagi Muzium dan Monumen (NCMM) negara itu, lapor agensi Anadolu.

    “Terdapat bukti yang sangat jelas, bahawa objek tersebut diperoleh melalui kekerasan, dan rundingan luar menyokong pandangan kami bahawa adalah bermoral dan wajar untuk mengembalikan pemilikan mereka kepada Nigeria.

    “Horniman berbesar hati dapat mengambil langkah ini dan kami berharap dapat bekerjasama dengan NCMM untuk mendapatkan penjagaan jangka panjang bagi artifak berharga ini,” kata pengerusi pemegang amanah muzium itu, Eve Salomon dalam satu kenyataan media.

    Artifak berkenaan telah dialih secara paksa dari penempatan purba Bandar Benin di Nigeria oleh penjajah British selepas pencerobohan tentera pada 1897.

    Koleksi itu termasuk 12 plak tembaga, yang dikenali sebagai gangsa Benin, sekeping mezbah berbentuk ayam jantan tembaga, gading dan objek upacara sembahan, loceng tembaga, barangan harian seperti kipas dan bakul, dan kunci ‘istana raja’.

    “Kami sangat mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh Pemegang Amanah Muzium dan Taman Horniman.

    “Selepas pengesahan Suruhanjaya Amal, kami menantikan perbincangan yang produktif mengenai perjanjian pinjaman dan kerjasama antara Suruhanjaya Kebangsaan bagi Muzium dan Monumen serta Horniman,” kata ketua pengarah NMM, Abba Tijani.

    Muzium London menerima permintaan daripada NMM pada Januari tahun ini dan menjalankan analisis menyeluruh terhadap objek bagi memastikan artifak yang memenuhi permintaan suruhanjaya itu. – Bernama

    Antara artifak Afrika yang dipulangkan oleh Muzium London. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda