PARIS, 21 OKT – Muzium Louvre kekal ditutup kelmarin, sehari selepas permata bersejarah dicuri dari muzium yang paling kerap dikunjungi di dunia selepas dipecah masuk pada siang hari sekali gus mendorong pihak berkuasa menilai semula langkah keselamatan di lain-lain pusat kebudayaan terkenal seluruh Perancis.
Kakitangan muzium meminta berpuluh-puluh pengunjung yang sedang beratur di hadapan pintu masuk di piramid kaca untuk beredar.
Dalam mesej yang disiarkan di media sosial, Louvre berkata bayaran tempahan tiket akan dikembalikan. Ia tidak memberikan butiran tambahan. Louvre juga akan ditutup pada hari Selasa, iaitu hari yang ditutup setiap minggu.
Ahad lalu, pencuri berjaya melarikan permata Napoleon yang tidak ternilai kira-kira 30 minit selepas muzium dibuka dan pelawat yang sudah berada di dalam sekali gus menjadi kes kecurian muzium berprofil tertinggi.
Menteri Kebudayaan, Rachida Dati berkata siasatan sedang dijalankan terhadap bukti yang ditemui di tempat kejadian.
“Kami memang menemui motosikal dan mereka mempunyai plat lesen,” kata Dati pada penyiar berita CNews. “Saya juga memuji pegawai keselamatan yang menghalang lif pengangkut (yang digunakan pencuri) daripada dibakar oleh penjenayah sebelum melarikan diri. Ini membolehkan kami mendapat bukti di tempat kejadian.”
Pegawai berkata rompakan itu berlangsung kurang daripada lapan minit secara keseluruhan, termasuk kurang daripada empat minit di dalam Louvre. “Mereka terus ke tingkap paparan, mereka tahu apa yang mereka mahukan. Mereka sangat cekap.” Dati berkata.
Kecurian tersebut berlaku dalam Galeri Apollo, di mana Berlian Mahkota dipamerkan. Penggera yang dihidupkan membawa pengawal ke tempat kejadian tetapi kecurian telah pun berakhir membawa lari lapan objek bernilai. – AP


