BUENOS AIRES – Ibu kota Argentina ini kelihatan lebih giat untuk menumpukan kepada aspek kebudayaan dengan menampilkan sebuah acara baru iaitu Muzium Malam di mana ia berjaya menarik lebih kurang jutaan pengunjung untuk menyaksikan sendiri keistimewaan yang ditawarkan apabila waktu operasi bagi kebanyakan muzium dan galeri seni turut diperpanjangkan.
Melalui acara yang berunsurkan kebudayaan tersebut, para pengunjung akan berpeluang untuk mengunjungi muzium dan galeri seni sehingga jam 3.00 pagi.
Dari situ, penggemar sejarah dan penghayat seni akan berpeluang untuk menyaksikan sendiri pameran seni kebangsaan dan antarabangsa selepas jam waktu bekerja termasuk koleksi istimewa yang merangkumi 53 karya daripada pelukis terkemuka Sepanyol, Joan Miro yang dipamerkan di Muzium Seni Kebangsaan di mana koleksi tersebut adalah dipinjamkan dari Muzium Reina Sofia di Madrid.
“Ia merupakan satu idea yang cukup hebat untuk membukakan pameran tersebut kepada orang awam pada waktu malam dan lebih menarik lagi apabila ia diadakan secara percuma malah lebih menarik lagi apabila pengangkutan awam secara percuma juga turut disediakan di mana ia secara tidak langsung dapat memberikan kemudahan kepada pengunjung yang datang dari luar bandar untuk sama-sama menghayati budaya tersebut,” jelas Mariela Fernandez, salah seorang pelajar bidang perubatan yang mengunjungi muzium dan galeri tersebut untuk melihat sendiri keistimewaan karya lukisan dan ukiran Miro secara lebih dekat kepada Xinhua.
Cuaca yang cerah di bandaraya itu juga secara tidak langsung menyokong kejayaan acara tersebut di mana para pengunjung juga turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan termasuk konsert pada malam tersebut.



Pusat Kebudayaan Kirchner (CCK) yang juga merupakan bekas pejabat pos bersejarah di bandar tersebut juga merupakan antara 260 lokasi yang turut ikut serta dalam edisi ke-14 dalam acara Muzium Malam ini.
Pusat ini memaparkan antara koleksi karya dari Fondation Cartier di Paris termasuk beberapa karya yang dihasilkan oleh pengarah dan pakar visual, David Lynch, pakar visual, penyanyi dan penulis lagu, Patti Smith, jurugambar berbangsa Jerman, Wolfgang Tillmans dan jurugambar berbangsa Jepun, Hiroshi Sugimoto.
Di CCK, Norma Robertson, salah seorang pengunjung dan juga mantan guru juga turut mengagumi karya-karya yang ditampilkan pada waktu malam tersebut di mana ia secara tidak langsung turut memberikan suatu dimensi yang baru.
“Secara umumnya, apabila anda mengunjungi muzium ini pada waktu siang ia adalah merupakan satu perkara yang biasa dan setentunya ia merupakan satu pengalaman baru yang cukup menyeronokkan apabila berpeluang untuk mengunjunginya pada waktu malam di mana ia seolah-olah mewujudkan unsur misteri,” jelas Robertson kepada Xinhua.
Muzium dan laluan transit menegah sebarang bayaran bagi menggalakkan kunjungan orang awam pada acara tersebut malah tol yang biasanya dikenakan kepada sebarang kenderaan juga ditiadakan pada malam itu demi untuk memberikan galakan penuh terhadap acara budaya itu.
Untuk menyemarakkan lagi acara, sistem keretapi juga dipastikan bergerak secara lancar demi memastikan setiap individu yang berhasrat untuk mengunjungi acara tersebut akan berpeluang untuk melakukannya.
Muzium Malam merupakan satu idea yang seringkali dianjurkan di kebanyakan bandar-bandar utama di seluruh dunia dan ia dikatakan bermula dari Berlin, Jerman pada tahun 1977.
Muzium Malam pertama kali diadakan di Buenos Aires sejak tahun 2004 dengan menerima penyertaan daripada 29 buah muzium dan berjaya menarik seramai 35,000 pencinta seni. – Xinhua