NEW YORK – Sebuah Muzium seni berkelas dunia di New York digabungkan dengan aktiviti senamrobik.
Metropolitan (Met) Museum of Art di New York mengadakan sesi senamrobik pagi pada musim sejuk baru-baru ini. Sesi senaman itu diadakan di tengah-tengah karya-karya seni yang berharga.
Peserta-peserta yang menyertai “Senaman Muzium” selama 45 minit itu akan memakai baju sukan dan melintasi 35 galeri di sana. Mereka akan melintasi galeri lukisan, ukiran, perisai, dan lain-lain sebelum insititusi Fifth Avenue itu dibuka kepada orang awam.
Ribut salji yang berlaku baru-baru ini tidak menghalang 15 orang yang telah mendaftar daripada menghadiri sesi senaman tersebut.
Sesi senaman itu dimulakan dengan sesi memanaskan badan: regangan kaki di pintu masuk muzium dan berlari-lari anak dengan lagu latar belakang dari Bee Gees, Stayin’ Alive. Kemudian barulah sesi senaman yang lebih pantas bermula – peserta berlari melintasi galeri-galeri kemudian menaiki tangga perhiasan dari pertukaran stok Chicago pada abad ke-19 yang dipelihara.
![Metropolitan Museum Seni di New York.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/4-M15_240217.jpg)
Mereka melakukan senaman sebahagian kaki di depan karya John Singer Sargent, “Potrait of Madame X” dan melakukan senaman imbangan satu kaki di hadapan perisai Henry VIII. Peserta juga membuat senaman yoga di hadapan patung gangsa dewi Roman, Diana. Mereka membuat senaman lompatan Jack di antara senaman-senaman lain dengan diiringi lagu disco dan Motown.
Kenapa orang dari pelbagai negara (contohnya Pennsylvania, Kentucky dan California) sanggup untuk melawat muzium Manhattan hanya untuk bersenam?
“Ini memberikan peserta pengalaman yang berharga,” kata seorang daripada peserta senaman, Oliver Ryan yang menguruskan sebuah syarikat korporat kesihatan di New York. “Kami melakukan regangan memanaskan badan di galeri yang besar ini, di hadapan patung Perseus yang memegang kepala Medusa. Saya sedar pada ketika itu, ia umpama TV pada zaman purba. Ia bagaikan saat yang dihentikan dari sebuah cerita yang diketahui semua orang.”
Met menugaskan syarikat Monica Bill Barnes yang inovatif untuk menjalankan projek tersebut. Projek itu dikoreografikan oleh dua orang wanita – Monica Bill Barnes dan pasangan tariannya, Anna Bass. Syarikat itu juga turut diwakili oleh Robert Saenz de Viteri, pengarah penerbit kreatif syarikat tersebut.
Bass memberitahu bahawa kumpulannya bekerja keras dan membuat perkiraan untuk memastikan mereka serta peserta-peserta berada jauh dari karya-karya seni yang dipamerkan. Ini bermaksud mereka harus mengelakkan ayunan tangan dan kaki. Mereka juga harus memastikan peserta bersenam sekurang-kurangnya tiga kaki jauh dari karya seni di sana.
Senaman dan tarian yang dilakukan di sekeliling karya-karya seni itu “sangat bertentangan dengan budaya yang sepatutnya diterapkan di dalam muzium iaitu senyap, tidak membuat pergerakan yang keterlaluan dan berjalan dengan perlahan,” kata Barnes.
“Kami sedang melakukan perniagaan dengan membuat perkara ganjil,” tambahnya dengan senyuman, “kami membawa tarian ke tempat yang tidak sepatutnya.”
![Para peserta membuat regangan di hadapan patung pengasas AS, Benjamin Franklin. – AP](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/1-M15_240217.jpg)
![Senaman tersebut dikoreografikan oleh dua orang wanita – Monica Bill Barnes (kiri) dan pasangan tariannya, Anna Bass. – AP](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/2-M15_240217.jpg)
De Viteri membantu membimbing sesi senaman itu dengan memakai tuksedo vintaj dan kasut. Dia juga memegang komputer riba yang disambung ke pembesar suara untuk menyalurkan muzik dan rakaman suara dari Maira Kalman, iaitu artis dan penulis yang juga memilih laluan senaman di muzium tersebut.
“Sesuatu yang fizikal berlaku kepada saya semasa saya berada di dalam muzium. Saya akan merasa sangat teruja, saya terasa sesuatu yang memberikan kegilaan dan keseronokan kepada saya,” demikian yang dikatakan oleh Kalman dalam rakaman suaranya sambil peserta-peserta senaman membuat regangan di hadapan patung pengasas Amerika Syarikat (AS) yang kelihatan tegas, Benjamin Franklin.
Senaman itu diakhiri dengan gaya yoga iaitu savasana yang dilakukan dengan berbaring di lantai muzium sambil mata tertutup. Ini bertujuan untuk menghilangkan tekanan dari minda dan badan peserta sambil menyerap kebaikan-kebaikan senaman dinamik itu. Ini dilakukan di hadapan patung dewi Augustus Saint Gaudens, Diana yang seakan-akan hampir melepaskan panahnya.
Tiket bagi sesi-sesi pertama telah habis dijual beberapa bulan lalu. Permintaan ramai telah membuatkan lebih banyak tiket sesi pertama di jual, ini juga kemudiannya telah habis dijual. Peserta-peserta yang mendaftar terdiri dari kalangan lelaki dan wanita berumur antara 13 hingga 85 tahun.
Pegawai-pegawai muzium memberitahu bahawa setakat ini belum ada rancangan bagi “persembahan” untuk tahap seterusnya.
“Persembahan” yang direka itu memakan masa tiga tahun yang memberikan peserta per-gerakan senamrobik selari dengan muzik.
“Senaman Muzium” itu diselenggarakan oleh siri persembahan MetLiveArt dan sebahagiannya dibiayai oleh Jerome Robbins Foundation dan One World Fund. – AP