ALOR SETAR, 26 DIS – Muzium Padi di Jalan Gunung Keriang menjadi antara lokasi tumpuan pengunjung di Kedah bersempena dengan cuti penggal persekolahan kali ini, sesuai dengan gelaran negeri itu sebagai Jelapang Padi Malaysia.
Muzium yang terletak di kawasan gunung dikelilingi sawah padi itu bukan sahaja mempunyai pemandangan yang sangat menarik, malah turut menjadi lokasi terbaik untuk orang ramai mendapatkan penerangan tentang kegiatan penanaman dan penuaian padi.
Seorang pengunjung, Rahmat Rawi, 44, dari Seremban, Negeri Sembilan berkata ini merupakan kali pertama dia, isteri serta empat anaknya melawat Muzium Padi walaupun telah beberapa kali bercuti di Kedah.
“Saya memang telah lama bercadang untuk bawa anak-anak ke sini kerana mereka tidak tahu macam mana padi ditanam walaupun setiap hari makan nasi. Jadi, ini sekali gus dapat memberi pendedahan baharu kepada anak-anak yang selama ini membesar di kawasan bandar.
“Saya sendiri teruja kerana tidak sangka banyak yang boleh dilihat dan dipelajari di Muzium Padi ini dan bagi saya semuanya menarik, jadi anak-anak tidak mudah bosan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, Mohamad Hidzir Omar, 43, dari Tokai, Pendang berkata dia memilih membawa empat anaknya yang berusia antara empat hingga 14 tahun kerana ingin memberi pendedahan mengenai padi yang merupakan ikon negeri itu.
“Muzium ini landskapnya sangat menarik, tempat sejarah untuk mengenal asal usul padi. Generasi sekarang kurang pendedahan berkaitan perkara ini. Walaupun cuti sekolah, ramai orang suka bercuti di luar negeri, bagi saya tidak perlu kerana di Kedah pun banyak lagi tempat bersejarah yang boleh diterokai,” katanya. – Bernama