Sunday, March 2, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium pamer diorama penuh nostalgia

    Oleh Michio Tanaka

    SAKURA, CHIBA – Replika bersaiz hidup kaunter teater retro, kedai gunting rambut dan kafe menanti pengunjung di Muzium Sejarah Nasional Jepun di Sakura, wilayah Chiba.

    Sebenarnya, adegan yang penuh nostalgia adalah reproduksi pemandangan jalanan di dalam dan sekitar daerah Asakusa, Tokyo pada tahun 1920an.

    Di Galeri 5 muzium itu, gaya hidup orang Jepun antara separuh kedua abad ke-19 dan 1920an diperkenalkan di tiga sudut berdasarkan tema ‘Tamadun dan Penyedaran’, ‘Perindustrian dan Pembangunan Hokkaido’ dan ‘Gaya Hidup Bandar Baharu’.

    Hiroshi Yokoo, penolong ketua bahagian perkhidmatan publisiti muzium, berkata, “Ciri utama ialah replika diorama yang agak besar.”

    Banyak usaha dilakukan supaya pengunjung dapat menghargai cara hidup orang ramai pada tahun-tahun tersebut. Pameran ini sangat popular sehingga ada pengunjung mengambil swafoto berdiri di hadapan diorama.

    Pemandangan jalan yang dihasilkan semula dari apa yang dikatakan sebagai daerah Asakusa Tokyo pada tahun 1920an. – ANN/The Japan News
    Pembinaan semula unit kompleks perumahan ‘danchi’ yang dibina oleh Japan Housing Corporation yang tidak lagi digunakan. – ANN/The Japan News
    Replika gajah Naumann, yang mula diperkenalkab pada 2019 selepas muzium itu diubahsuai. – ANN/The Japan News

    Satu paparan yang popular ialah pintu masuk panggung wayang dahulu. Bagi orang yang hidup pada masa itu, menonton drama pentas dan filem adalah jenis hiburan yang paling menarik.

    Mendengar itu, pengunjung harus membayangkan adegan di mana sebilangan besar orang sedang bersemangat berkumpul di sekitar panggung wayang untuk menonton filem yang diperkatakan.

    Penulis dibawa ke Galeri 6, yang mempunyai dua tema – ‘Perang dan Keamanan’ dan ‘Revolusi Gaya Hidup Pasca Perang’.

    Satu lagi tempat yang sangat popular di muzium itu ialah pembinaan semula bersaiz penuh unit kompleks perumahan ‘danchi’ yang sebenar dibina oleh Japan Housing Corporation yang kini tidak digunakan.

    Di ruangan itu, pengunjung akan menemui antaranya mesin basuh yang dikeluarkan pada tahun 1962, peti sejuk dan periuk nasi elektrik. Kesemuanya diletakkan selaras dengan suasana unit perumahan, memberikan pelawat gambaran yang jelas tentang cara orang hidup pada tahun-tahun tersebut.

    Terdapat sejumlah enam buah galeri pameran tetap di muzium ini. Satu kebanggaan bagi muzium ini ialah ia menempatkan pelbagai koleksi bukan sahaja dari zaman moden.

    Apa yang sangat mengagumkan ialah replika gajah Naumann di Galeri 1 yang tingginya kira-kira 3.5 meter. Ia dihasilkan menggunakan sebahagian daripada tengkorak yang digali di Narita,wilayah Chiba, dan barangan lain sebagai rujukan.

    Di Galeri 3 terdapat papan tanda jalan yang sangat tinggi kira-kira 4 meter tinggi. Papan tanda jalan adalah replika yang berdiri di persimpangan jalan Tokaido dan Nakasendo. Yang sebenarnya adalah berada di bekas stesen pos di Kusatsu, wilayah Shiga.

    Jumlah ruang lantai galeri adalah kira-kira 8,900 meter persegi. Melihat semua barangan yang dipamerkan di muzium melibatkan berjalan kaki lebih daripada 3 kilometer.

    “Adalah mustahil untuk melihat kesemuanya dalam satu hari. Saya mahu orang ramai melawat ke sini dua atau tiga kali,” kata Yokoo.

    Muzium ini dibuka pada tahun 1983. Ia terletak bersebelahan dengan Taman Runtuhan Istana Sakura, yang terkenal sebagai lokasi untuk melihat bunga sakura. – ANN/The Japan News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda