Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium perang Pulau Pinang saksi penderitaan WWII

    GEORGE TOWN – Mengimbau kembali sejarah Perang Dunia Kedua (WWII), ia mampu membangkitkan pelbagai peristiwa pahit yang pernah menimpa sebahagian penduduk dunia terutama di negara yang dijajah dan terkesan dengan kemusnahan akibat perang.

    Begitu jugalah di Pulau Pinang tidak terkecuali daripada menyaksikan semua itu. Pulau Mutiara ini, yang dahulunya sebahagian daripada negeri Kedah menjadi penempatan British yang pertama di semenanjung kerana kedudukannya yang strategik untuk menjalankan aktiviti perdagangan serta menjadi kubu pertahanan regim British ketika Perang Dunia Kedua.

    Menurut Pengasas Muzium Perang Pulau Pinang Johari Shafie, kawasan muzium yang terletak di lereng bukit di Batu Maung adalah bekas kubu pertahanan tentera British ketika menakluki Tanah Melayu dengan mempunyai pemandangan laut seluas 320 darjah.

    Dibina pada tahun 1930, kubu itu siap sepenuhnya pada sembilan tahun kemudian dengan menggunakan tenaga banduan yang dihukum mati dari negara-negara jajahan takluk pihak British.

    Katanya, pengerahan banduan-banduan akhir digunakan sebagai salah satu taktik tentera British untuk memastikan pembinaan kubu itu kekal sebagai rahsia.

    Muzium Perang Pulau Pinang yang terletak di lereng bukit di Batu Maung adalah bekas kubu pertahanan tentera British ketika menakluki Tanah Melayu dengan mempunyai pemandangan laut seluas 320 darjah. – Bernama
    Seorang lelaki tidak melepaskan peluang merakamkan gambar semasa berada di dalam kubu bawah tanah Perang Dunia Kedua, yang kini dikenali sebagai Muzium Perang di Batu Maung. – Bernama
    Seorang lelaki melihat keadaan bangunan-bangunan yang dijadikan kubu pertahanan Perang Dunia Kedua, yang kini dikenali sebagai Muzium Perang di Batu Maung. – Bernama

    “Kubu pertahanan yang menelan belanja £40 juta pound ketika itu kemudiannya telah diambil alih oleh tentera Jepun yang diketuai oleh Jeneral Tomoyuki Yamashita pada 16 Disember 1941, setelah lapan hari tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu dengan menaiki basikal melalui Thailand.

    “Pihak Jepun memang sasar untuk ambil alih kubu ini kerana ketika itu British mempunyai dua buah meriam yang dibawa khas dari Arsenal berdiameter 15 inci dengan kepanjangan 40 kaki… senjata itu boleh ditembak sejauh 36 kilometer,” katanya kepada media.

    Tapak terbiar

    Johari berkata beliau menemui tapak kubu itu pada tahun 1986 sewaktu bekerja sebagai pegawai di Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (kini dikenali sebagai Tourism Malaysia) Wilayah Utara dan tapak itu terbiar setelah pengunduran Tentera Jepun dari Tanah Melayu pada 1945.

    Jelasnya, kerana minat yang mendalam terhadap sejarah dan warisan negara, beliau mengambil keputusan untuk ‘mengubah’ tapak kubu terbiar itu kepada muzium dan seterusnya menyatakan hasrat itu kepada kerajaan persekutuan untuk menjadikan tapak itu sebagai produk warisan Perang Dunia Kedua dalam bentuk muzium.

    “Bagaimanapun usaha itu tergendala, namun saya tidak berputus asa. Saya kemudian memperbaharui kertas-kertas kerja dan membuat permohonan baharu kepada kerajaan persekutuan dan negeri untuk mewujudkan sebuah muzium perang di Pulau Pinang.

    “Setelah tujuh tahun berhempas pulas, akhirnya pada 30 Mac 2002 saya mendapat kebenaran untuk membangun, membina dan mengurus sebuah muzium perang di negeri ini.

    “Saya menggunakan dana peribadi daripada syarikat saya dan keluarga untuk membangunkan muzium perang ini. Pada permulaan, saya membelanjakan RM5 juta dan secara keseluruhannya ia menelan belanja RM22 juta secara berperingkat,” katanya.

    Tambah Johari, beliau mengambil masa selama beberapa tahun untuk membersihkan tanah seluas 7.83 hektar (19.36 ekar) itu yang telah terbiar lebih 60 tahun yang dipenuhi dengan jerangkap samar dan hutan belukar.

    Kisah di sebalik muzium perang Pulau Pinang

    Selain itu, penerokaan kubu lama itu telah merungkai sebuah kisah bahawa askar berketurunan Melayu adalah juga antara askar profesional dan pakar dalam mengendalikan senjata ketika zaman penjajahan British.

    Diceritakan sendiri oleh veteran askar barisan hadapan tentera British ketika itu James Tait dan Bob Smith, Johari berkata terdapat berek askar yang menempatkan askar-askar berketurunan Melayu yang bertanggungjawab mengendalikan senjata berat bagi pihak British ketika itu. Antara fakta yang masih tidak diketahui oleh orang

    awam adalah alat anti radar dan komunikasi yang digunakan ketika pendudukan British masih berfungsi sehingga kini.

    Misteri yang tersemadi

    Bunyi derapan kaki berkawad, bau seakan wangian dan kadang kala seakan bau minyak tanah serta penampakan lembaga misteri antara kisah mistik yang sering diutarakan oleh pekerja, pengusaha malah pengunjung Muzium Perang Pulau Pinang.

    Johari berkata sewaktu kerja-kerja pembersihan dilakukan, beliau menemui 5,000 pucuk senapang yang digunakan oleh tentera Jepun setelah menakluki Tanah Melayu, senjata-senjata tajam, kelongsong peluru, tulang-tulang manusia, terowong bawah tanah, menara tinjau, berek dan lokap, selain bangunan kubu yang telah ditimbus.

    Setelah diambil alih oleh tentera Jepun, tempat itu kemudiannya menjadi saksi kepada segala kekejaman tentera Jepun sepanjang menjajah Tanah Melayu ketika itu.

    Sejak mengambil alih kubu pertahanan itu, ia dijadikan tempat menyeksa, membunuh serta transit kepada tahanan perang sebelum dihantar ke Kanchanaburi, Thailand membantu menyiapkan landasan kereta api maut.

    “Jeneral Yamashita telah mengarahkan tahanan perang yang dibawa secara berperingkat dari China, Indo-China, selatan Thailand dan Tanah Melayu untuk diproses berdasarkan saiz, jantina dan kepakaran bukan sahaja ke Kanchanaburi malah ada juga yang dijadikan buruh paksa di lokasi jajahan Jepun dan kamikaze.

    “Kubu pertahanan itu yang kini dikenali sebagai Muzium Perang Pulau Pinang menjadi saksi kepada pertumpahan darah, air mata serta derita penyeksaan nenek moyang kita suatu ketika dahulu. Tahanan perang ketika penjajahan Jepun tanpa belas kasihan dirogol, diseksa dan dibunuh di situ,” jelas Johari.

    Bangunan jana kuasa yang dibina oleh tentera British di dalam kubu itu telah digunakan sebagai bilik penyeksaan dan sehingga kini mampu membangkitkan perasaan seram dalam kalangan pengunjung dan dikhabarkan bau seakan minyak tanah itu datang dari kamar itu. Tulang-tulang yang dijumpai di kawasan muzium yang berkemungkinan kepunyaan tahanan perang dan mangsa bunuh mahupun askar Jepun sendiri telah ditanam oleh Johari di sebuah tempat rahsia sebelum membuka kawasan itu kepada orang ramai. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda