VIENTIANE, 6 JAN – Muzium Seni Laos, muzium terbesar negara itu, dibuka secara rasmi kepada orang ramai, menandakan pencapaian penting dalam usaha pemeliharaan budaya kebangsaan yang dijangka menjadi tarikan pelancongan popular untuk pelawat tempatan dan antarabangsa, lapor Xinhua.
Satu majlis pembukaan gilang-gemilang diadakan di ibu negara Laos, Vientiane, kelmarin, yang turut dihadiri Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone.
Muzium tersebut mempamerkan pelbagai ukiran kayu tradisional Laos, menonjolkan kehalusan seni pertukangan yang menjadi teras identiti budaya negara. Ia juga menyediakan platform untuk mempamerkan kreativiti merentas generasi, sekali gus mempromosikan kelestarian, kesedaran alam sekitar, dan pemeliharaan budaya.
Muzium berkenaan dijangka membuka peluang pekerjaan tempatan, menyokong perniagaan, dan menarik pelawat dari seluruh dunia. Selain itu, ia bertujuan memberi inspirasi kepada generasi baharu seniman Laos, memupuk hubungan mendalam dengan identiti budaya dan kreativiti.
Sebagai lambang warisan seni yang kaya, muzium itu mencerminkan komitmen berterusan Laos terhadap pemeliharaan budaya. – Bernama