Wednesday, October 30, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium seni Warsaw permata minimalis moden

    WARSAW – Bangunan baharu Muzium Seni Moden Warsaw dibuka baru-baru ini, memperkenalkan struktur konkrit putih minimalis yang bertujuan menghidupkan semula kawasan terbiar di ibu kota Poland, yang selama ini didominasi oleh bangunan megah era Stalin.

    Warsaw, bandar yang dihuni 1.8 juta penduduk, tidak pernah memiliki tapak khusus untuk muzium seni modennya. Sebelum ini, institusi seni berkenaan hanya mempamerkan koleksi-koleksinya di beberapa lokasi sementara.

    Bangunan muzium baharu itu disamakan oleh sesetengah pihak dengan kotak kasut, kontena penghantaran atau bunker yang direka oleh arkitek dari Amerika Syarikat, Thomas Phifer, turut dipuji sebagai ‘permata minimalisme’ oleh penggiat seni yang lain.

    Datuk Bandar Rafal Trzaskowski menyifatkan pembukaan muzium ini sebagai ‘peristiwa bersejarah’ bagi seni Poland dan bandar Warsaw.

    “Warsaw berubah dengan pesat, namun pusat bandar masih mengekalkan wajah dari beberapa dekad lalu,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.

    Bangunan baharu Muzium Seni Moden Warsaw kelihatan di seberang jalan dengan latar belakang Istana Kebudayaan era Soviet dan pemandangan pusat bandar Warsaw. – AFP
    Orang ramai beratur untuk memasuki bangunan baharu Muzium Seni Moden di Warsaw, Poland pada malam pembukaannya, baru-baru ini. – AFP
    Pengarah muzium, Joanna Mytkowska (kiri) dan Datuk Bandar Warsaw, Rafal Trzaskowski bergambar di hadapan arca karya Alina Szapocznikow di bangunan baharu Muzium Seni Moden di Warsaw, Poland. – AFP
    Orang ramai kelihatan di tangga utama bangunan baharu Muzium Seni Moden di Warsaw, Poland. – AFP
    Gambar menunjukkan tangga utama di bangunan baharu Muzium Seni Moden di Warsaw, Poland. – AFP
    Gambar AFP

    LEGASI STALIN

    Ketika Perang Dunia Kedua, hampir 90 peratus ibu kota Poland dimusnahkan oleh serangan Jerman Nazi, meninggalkan pusat bandar dalam keadaan hancur semasa pembebasan.

    Selepas perang, kerajaan komunis memutuskan untuk tidak membina semula kawasan tersebut dan memilih mendirikan Istana Kebudayaan dan Sains, sebuah bangunan tinggi dengan seni bina realisme sosialis hasil inspirasi Soviet.

    Setinggi lebih 230 meter, bangunan itu dihadiahkan oleh pemimpin Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR), Joseph Stalin, yang selama bertahun-tahun menjadi mercu tanda ibu kota Poland.

    Sepanjang era komunis, istana tersebut digunakan sebagai lokasi perhimpunan politik besar-besaran.

    Selepas kejatuhan USSR, dataran luas di hadapan bangunan itu bertukar menjadi pasar jalanan, kemudian menjadi kawasan letak kereta yang terbiar – terpisah daripada kehidupan bandar disebabkan jalan besar yang lebar.

    Menurut pakar sejarah seni bina, Anna Cymer, dataran tersebut sehingga kini adalah tempat yang tidak jelas fungsinya.

    “Warsaw masih sukar untuk membebaskan diri daripada legasi sejarah yang banyak,” katanya.

    “Kita akhirnya berada di landasan tepat untuk menghidupkan semula kawasan ini demi manfaat semua. Muzium ini adalah langkah penting ke arah mewujudkan pusat bandar yang sebenar dan menghidupkan semula persekitarannya,” tambahnya.

    CAHAYA WARSAW

    Bagi arkitek muzium seluas hampir 20,000 meter persegi itu, pemilihan lokasi yang strategik disifatkan sebagai satu keputusan berani.

    “Mereka boleh memilih mana-mana lokasi lain di Warsaw, tetapi mereka memilih untuk membinanya di sebelah istana dengan segala sejarahnya,” kata Phifer.

    “Inilah suara baharu, rumah baharu, dataran bandar baharu, forum baharu, tempat untuk menghargai seni dan berinteraksi sesama sendiri,” tambahnya.

    Muzium itu, yang menelan belanja AS$170 juta, mempunyai dinding kaca dari lantai hingga ke siling di tingkat bawah sebagai jemputan terbuka kepada orang ramai.

    Di dalamnya, tangga berkembar membawa pengunjung ke bilik pameran – buat masa ini kebanyakannya kosong, dengan hanya belasan karya seni dipamerkan sebelum pameran tetap dibuka pada Februari tahun depan.

    Dalam tempoh dua minggu akan datang, muzium itu bakal meraikan pembukaannya dengan pelbagai acara termasuk konsert, persembahan tarian dan bengkel.

    Keseluruhan ruang dalaman bangunan itu diselubungi cahaya semula jadi, yang menurut Phifer adalah sebahagian daripada perancangan seni bina muzium.

    “Cahaya Warsaw, yang menjadi ciri bandar ini, mula menyatu dengan pengalaman seni di sini,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda