Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium Seoul anjur pameran foto papar kehidupan ketika pandemik

    SEOUL, 24 NOV – Pameran foto yang dirakam jurugambar agensi berita, mengenai kehidupan semasa pandemik COVID-19 diadakan di Seoul untuk memberi peluang pengunjung menyaksikan bagaimana dunia mengharungi pandemik itu, lapor agensi berita Yonhap. 

    Menurut penganjur, pameran ‘At the Scenes of the Pandemic,’ itu menampilkan 120 foto yang dirakam jurugambar dari 47 agensi berita di seluruh dunia. Berlangsung di Muzium Nasional Sejarah Kontemporari Korea di Seoul, bermula 24 November hingga 1 Mac.

    Pameran anjuran bersama Muzium Nasional dan Yonhap itu bertujuan berkongsi mesej mengenai harapan dan kesepakatan tatkala dunia mengharungi detik suram.

    Terdapat empat tema iaitu Permulaan Tanpa Pengakhiran; Sekatan vs Kebebasan; Dunia yang Terhenti, Bebas Sentuhan adalah Norma Baharu; dan Kerjasama, Kebersamaan.

    Mempamerkan gambar-gambar daripada 70 bandar di seluruh dunia, dari Prague hingga ke Marakesh – merungkai bagaimana penduduk seluruh dunia menjalani kehidupan di sebalik risiko jangkitan dan kematian.

    Gambar yang dirakam di bandar Daegu, Korea Selatan misalnya, menunjukkan seorang pekerja kesihatan yang keletihan sedang berehat, manakala foto di rumah jagaan di bandar Valencia, Sepanyol memperlihatkan seorang ibu tua dan anaknya berpelukan melalui tirai plastik.

    “Ketika meneliti foto-foto itu, kami diingatkan mengenai tanggungjawab untuk mengatasi krisis COVID-19 menerusi gabungan dan kerjasama seluruh dunia sebagai sebuah komuniti yang bersatu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Yonhap Cho Sung-boo semasa upacara perasmian. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda