Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium Terapung singkap sejarah maritim Chicago

    KETIKA pengasas bersama Faheem Majeed dan Jeremiah Hulsebos-Spofford melancarkan Muzium Terapung Chicago, mereka telah memilih nama itu sebagai satu metafora di mana ia bertujuan sebagai satu muzium seni yang bukan hanya mempamerkan nilai seni di sekitar Chicago bahkan juga kawasan kejiranan di mana perkembangan tersebut juga mencerminkan kebolehan para artis dan penduduk setempat.

    “Kami sering memikirkan bagaimana cara untuk menarik minat masyarakat dan ternyata ia bukan hanya tertumpu kepada karya seni setempat namun juga kolaborasi dengan artis lain yang secara tidak langsung turut menghormati nilai seni itu,” jelas Majeed.

    Pada musim panas lalu, Muzium Terapung telah beroperasi secara sementara di Taman Calumet di mana ia menampilkan hasil karya seni sejarah dan kontemporari sekali gus turut menonjolkan barisan pereka dari Chicago.

    Kini, Muzium Terapung juga telah mengambil pendekatan literal iaitu dengan merealisasikannya di sepanjang sungai dan ia terbukti apabila ukiran bangunan telah dipasang dan dibina di sepanjang Sungai Chicago sepanjang bulan Ogos ini.

    Ia menampilkan tiga komponen utama terdiri daripada patung Jean Baptiste Point du Sable berukuran 14 inci yang merupakan seorang pendatang kelahiran Haiti di mana ia dikatakan peneroka bukan asli pertama di Chicago, skrin besar yang mempersembahkan seni digital hasil rekaan daripada 25 artis Chicago dan sebuah dekorasi berbentuk piramid yang terbina dari kontena yang dicat dan dihias cantik di mana ia mencerminkan kemajuan industri sungai tersebut suatu ketika dahulu.

    Patung Jean Baptiste Point du Sable berukuran 14 inci yang merupakan seorang pendatang kelahiran Haiti di mana ia dikatakan peneroka bukan asli pertama di Chicago juga turut dipamerkan. – Xinhua

    Sesi seminar dan perbincangan dalam kalangan panel seni juga turut diadakan di Muzium Terapung. – Xinhua
    Muzium Terapung yang ditempatkan bagi tempoh sementara di sepanjang Sungai Chicago bermatlamat untuk menyingkap sejarah dan seni. – Xinhua

    “Secara tradisi, Chicago telah menggunakan tasik sebagai pusat rekreasi dan sungai bagi tujuan perdagangan,” jelas Majeed

    “Sungai ini juga baru dianggap sebagai sebuah ruang rekreasi dan seni pula memberikan satu penghormatan dan rujukan bagaimana sungai itu pernah digunkan yang mana ia secara tidak langsung turut dikaitkan dengan budaya,” tambah Majeed.

    Sebagai tambahan kepada bidang seni, Muzium Terapung turut menganjurkan program harian seperti sesi lawatan, persembahan muzik. DJ, tarian dan juga perbincangan dalam kalangan panel profesional.

    Penempatan muzium tersebut bermula di Bridgeport di mana kini ia diletakkan di Riverwalk iaitu sepanjang sungai di Chicago dan beroperasi sehingga 27 Ogos serta bakal dipindahkan ke tapak kemuncaknya di Navy Pier.

    Dengen menempatkan Muzium Terapung ini di sepanjang sungai Chicago adalah bertujuan untuk menarik lebih ramai pengunjung untuk menghargai seni serta menyingkap kembali sejarah industri perkembangan di bandar raya tersebut.

    “Di setiap lokasi, penempatan itu berlabuh secara tidak langsung turut menarik lebih banyak aktiviti yang di lakukan dalam kalangan masyarakat seperti memancing dan menikmati hidangan berdekatan dengan kawasan sekali gus menghidupkan dan menceriakan se-sebuah kawasan itu,” jelas Majeed.

    Pada musim panas akan datang pula, mereka turut merancang untuk menganjurkan Muzium Terapung di kawasan kejiranan Austin, Chicago dan apa yang bakal dipersembahkan adalah tergantung kepada kehendak masyarakat dan penglibatan yang dilakukan oleh para artis.

    “Kami cuba ingin mendekatkan nilai seni kepada masyarakat khususnya dalam menyingkap mengenai nilai dan sejarah Chicago itu sendiri,” jelas Majeed. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda