Wednesday, April 16, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muzium terbesar Sudan musnah, artifak hilang

    KAHERAH, 14 APRIL – Di dalam muzium terbesar di Sudan, dewan pameran yang dahulunya dipenuhi dengan patung dan artifak dari tamadun purba kini telah musnah dan berselerak dengan sampah sarap.

    Barang-barang pameran menjadi kosong dan pecah. Sebuah mumia di dalam kotak penyimpanan terbuka dan semua artifak emas juga turut dicuri.

    Muzium Negara Sudan telah musnah akibat dua tahun peperangan di Sudan dan kebanyakan artifaknya telah dicuri. Pihak berkuasa menyalahkan Pasukan Sokongan Rapid paramiliter, yang menguasai daerah itu di Khartoum, Sungai Nil, sepanjang konflik tersebut berlaku.

    Menurut Gamal ElDeen Zain al-Abdeen, pegawai kanan di Pertubuhan Barangan Antik dan Muzium Nasional, kepada The Associated Press, “Kehilangan ini sangat besar dan menyedihkan. Sebilangan besar artifak purba telah dicuri.”

    Tambahnya lagi, “RSF telah memusnahkan segalanya dan hal itu turut mengkhuatirkan rakyat Sudan.”

    Muzium Negara mempunyai ribuan koleksi, yang bertarikh zaman Paleolitik sebelum perkembangan pertanian dan melalui kerajaan-kerajaan Sudan purba. Kebanyakan koleksi tersebut berasal dari era Napatan pada abad kelapan dan ketujuh sebelum Masihi, ketika firaun-firaun dari Sudan memerintah hampir seluruh Mesir purba, atau dari kerajaan Mereo yang membina piramid di Sudan. Dewan-dewan lain mempamerkan bahan agama terkini.

    Beberapa artifak yang terlalu berat untuk dibawa masih kekal di tempatnya. Di taman muzium, deretan patung singa batu kekal, begitu juga dengan Colossi of Tabo, dua patung besar bergaya firaun. Tiga kuil firaun juga masih ada, yang dipindahkan dari utara Sudan dan dipasang semula di muzium pada tahun 1960 an untuk mengelak daripada kenaikan air Tasik Nasser akibat pembinaan Empangan Tinggi di Mesir.

    Namun, banyak objek telah hilang. Perompak telah memecah masuk ke dalam stor berkunci dan melarikan semua artifak emas, kata Zain al-Abdeen. Tetapi masih terlalu awal untuk mengetahui berapa banyak koleksi muzium yang telah dicuri, tambahnya. – AP

    Muzium National Sudan, di Khartoum, Sudan, pada 3 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda