AMSTERDAM – Muzium Van Gogh pada musim luruh ini mengumpulkan semula sebuah keluarga yang terpisah, sebagai penghormatan kepada seorang posmen, isteri dan anak-anak mereka yang telah menjadi model kepada pelukis Belanda tersohor itu pada saat beliau bergelut mencari teman di sebuah bandar kecil di Perancis.
Potret yang dilukis pada penghujung 1880an menggambarkan posmen berjanggut lebat, Joseph Roulin, isterinya, dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan kecil telah disatukan semula untuk pameran bertajuk Van Gogh and the Roulins. Together Again at Last.
Pameran berkenaan mengumpulkan lukisan keluarga Roulin dari muzium di seluruh dunia, malah turut menampilkan sebuah kerusi dari studio Van Gogh di Arles, Provence, selatan Perancis.
Selepas pameran di Museum of Fine Arts, Boston, yang menyumbangkan salah satu karya utama iaitu potret Roulin dalam pakaian seragam biru dengan butang emas, duduk di kerusi rotan Provence, koleksi bersejarah ini kini dipamerkan di Amsterdam.
Ketika membuat persiapan, pihak Muzium Van Gogh menemukan kerusi asal yang muncul dalam potret yang disimpan di dalam stor mereka. Kerusi berkenaan kini dipamerkan buat kali pertama, kerana dianggap terlalu rapuh untuk dihantar ke Boston.





“Kami menyedari rupa-rupanya kerusi ini memang ada dalam koleksi kami, tetapi tidak pernah dipamerkan,” kata Pengarah Muzium Van Gogh, Emilie Gordenker. “Ia menunjukkan bahawa apabila awda meneliti tema tertentu, dalam hal ini potret keluarga Roulin, pelbagai perkara yang tidak pernah awda jangka akan timbul dan sangat menggembirakan apabila awda menemui semula koleksi sendiri.”
Vincent van Gogh menghasilkan 26 potret keluarga Roulin dalam tempoh singkat dari Julai 1888 hingga April 1889. Sebanyak 14 karya kini dipamerkan bersama karya seni rakannya, Paul Gauguin, serta karya pelukis Belanda Zaman Keemasan, Rembrandt van Rijn dan Frans Hals yang menjadi sumber inspirasi utama Van Gogh.
“Ramai berpendapat zaman Arles adalah kemuncak karya beliau,” ujar Gordenker. “Kami mungkin tidak sepenuhnya bersetuju, tetapi jelas ia detik penting yang menandakan perubahan besar… kekuatan beliau sebagai seniman benar-benar terserlah.”
Di sebuah bilik pameran tingkat atas, muzium itu turut membina replika saiz sebenar rumah kuning di Arles yang pernah dijadikan studio Van Gogh, di mana Roulin menjadi lebih daripada sekadar seorang model kepada Van Gogh.
“Sementara Roulin tidak cukup tua untuk dianggap seorang ayah kepada saya, dia tetap mempunyai ketegasan dan kasih sayang terhadap saya, seperti seorang askar tua terhadap askar muda,” tulis Van Gogh kepada adiknya, Theo, pada April 1889.
Kurator pameran, Nienke Bakker yang bekerjasama dengan Katie Hanson dari Museum of Fine Arts Boston, menegaskan bahawa tempoh Arles adalah detik penting dalam perkembangan seni Van Gogh.
“Dia sendiri mengaku, melukis manusia mengeluarkan aspek terbaik dirinya, dan membuatnya merasa sebahagian daripada kemanusiaan. Ia sesuatu yang sangat besar ertinya,” kata Bakker.
Menurutnya, kerusi tersebut disimpan selepas Van Gogh meninggalkan Arles, seterusnya diwarisi oleh keluarganya, dan akhirnya ke muzium.
Kini muzium berkenaan mempamerkan kerusi itu bersebelahan dengan potret dari Boston yang menampilkan Roulin duduk di atasnya.
“Cukup menyentuh hati untuk memiliki potret indah ini di sini, tetapi juga menunjukkan kerusi sebenar yang diduduki Roulin, sebuah kerusi kecil dan ringkas, namun penuh dengan makna,” tambah Bakker. – AP
