KUALA LUMPUR, 16 Julai – MV Agusta S.P.A Italy membuat sasaran menjual 15 unit motosikalnya di Malaysia menjelang akhir tahun ini, kata Pengarah Jualan dan Pemasarannya Raffaele Giusta.
Beliau berkata sasaran itu mampu dicapai memandangkan syarikat itu memberi tumpuan ke atas kualiti motosikal dan kepuasan pelanggan, selain membawa masuk modal baharu ke Malaysia.
“Prinsip kami sudah berubah sepenuhnya berbanding tiga tahun lepas. Walaupun jenama kami lebih eksklusif, kami menjajarkan jenama kami dalam sektor premium yang lebih tinggi dengan sesuatu yang berbeza dari segi bentuk, motosikal yang lebih menarik, prestasi, kuasa, identiti. malah masa untuk kami memberi tumpuan ke atas kualiti dan kepuasan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Gaya Hidup MV Agusta Malaysia.
Beliau berkata unit yang dijual dijangka meningkat kepada 30 unit pada 2018, dan akan meningkat setiap tahun.
“Kini kami mempunyai enam model baharu iaitu Brutale 800, Brutale 1090, Brutale Dragster RR, Turismo Veloce, Turismo Veloce Lusso RC dan F4RR dengan harga permulaan daripada RM90,000. Menjelang akhir tahun, enam model baharu akan dibawa masuk,” katanya.
Moto Varese Asiatic Sdn Bhd dilantik oleh DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd sebagai pengedar tunggal dan menyediakan khidimat selepas jualan bagi MV Agusta di Malaysia.
Mengulas mengenai pembukaan Pusat Gaya Hidup MV Agusta Malaysia, Mohamad Zamry berkata beberapa cawangan lain akan dibuka di Sabah, Sarawak, Kota Bharu, Johor Bharu dan Pantai Timur menjelang hujung tahun ini. – Bernama