Tidak melatah apabila video muzik (MV) lagu Tum Tum Raya yang baru sahaja dilancarkan dikatakan kurang nilai sopan santun, penyanyi Shiha Zikir menerima segala pandangan penonton itu dengan hati terbuka.
Shiha, 38, menjelaskan, dia mempunyai sebab menghasilkan klip video dengan teknik suntingan fast cut dan slow motion antaranya adalah ingin memberikan kelainan berbanding lagu raya lain.
Malah Shiha mengambil pandangan tersebut sebagai pembakar semangat untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti selepas ini.
“Saya setuju bila ada kata kurang nilai dan sopan santun. Apa yang positif mahupun negatif saya ambil. Itu semua untuk saya tambah baik.
“Sebelum ini lagu raya saya normal, tetapi untuk Tum Tum Raya ini saya nak serapkan elemen komedi.

“Bagi saya, tidaklah berlebihan ataupun jatuhkan apa-apa budaya, cumanya tarian itu sahaja yang tambah energy. Saya nak keluar daripada skeptikal lagu raya yang lain,” katanya kepada mStar.
Shiha menjawab perkara itu ketika ditemui semasa sidang media lagu baharunya berjudul Tum Tum Raya duet bersama kakaknya iaitu Ieda Zikir kelmarin.
Tambah penyanyi itu, dia memohon maaf sekiranya ada yang menganggap tariannya bertujuan memasukkan elemen komedi itu agak keterlaluan dan tidak boleh diterima.
“Saya tak pandang (teguran) itu negatif. Saya akan perbaiki lagi. Jadi, minta maaf kalau tersilap. Saya buat itu hanya menghiburkan,” ujarnya.
Sementara itu, Ieda pula menganggap tarian itu tidaklah keterlaluan memandangkan lagu berkenaan berkonsepkan moden. – Agensi