Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    MWNBD mulakan tadarus Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Dalam menyemarakkan ketibaan bulan suci Ramadan, Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD) hari ini telah mengadakan Majlis Pembukaan Tadarus Al-Quran di kediaman Naib Yang Dipertua I di Kampung Manggis II dengan dihadiri oleh 13 orang ahli daripada 13 persatuan.

    Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istigfar dan doa bagi memulakan bacaan Al-Quran secara beramai-ramai.

    Kemudian tadarus Juz 1 (Surah Al-Baqarah) dibacakan oleh wakil-wakil ahli Lembaga Tadbir Majlis MWNBD dan diikuti oleh wakil-wakil persatuan dengan dimulakan oleh Naib Yang Dipertua I, Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Pengiran Haji Matarsat.

    Antara tujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran dan meningkatkan lagi hubungan silaturahim antara semua persatuan yang bergabung dengan MWNBD dengan menanamkan sifat sabar dan saling menghormati antara satu sama lain.

    Persatuan yang menyertai majlis pembuka tadarus itu terdiri daripada Persatuan PERTIWI, Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI), Badan Kebajikan Isteri Pegawai-pegawai Kerajaan, Pegawai-pegawai dan Kakitangan Wanita Kerajaan Brunei (BISTARI), dan Persatuan Kebajikan Perempuan (PKP) Daerah Belait, Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam ( PPPBD), dan Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB).

    Turut menyertai majlis berkenaan adalah Persatuan Kebajikan Gabungan Wanita Daerah Tutong (PERGANITA), Badan Kebajikan Wanita Perumahan Negara Lambak Kanan (BAKANITA), Persatuan Siswazah Wanita (PSW), Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL), Persatuan Wanita Kampung Junjongan (PEWAJA), Persatuan Nurul Islam (PNI) dan Badan Kebajikan Isteri-isteri Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (BAKTI).

    Majlis diselajurkan dengan bacaan Tahlil dan Doa Tahlil yang diketuai oleh Hajah Fatimah binti Haji Ahmad daripada Persatuan PERTIWI, manakala Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Dayang Julianawati binti Haji Hamdan daripada PKP Belait.

    Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam bersama ahli-ahli yang lain pada Majlis Pembukaan Tadarus Al-Quran kelmarin. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda