Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD), hari ini, meneruskan Majlis Tadarus sempena Bulan Ramadan di Dewan Masrain, Ar-Raiyan, kediaman Timbalan Yang DiPertua II MWNBD di Jerudong.
Timbalan Yang Dipertua II MWNBD, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali dalam ucapannya berkata, antara lain tujuan utama majlis adalah untuk sama-sama memperoleh banyak ganjaran pahala dan rahmat dan keredaan daripada Allah SWT di samping menyemarakkan bulan Ramadan yang mulia dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran.
Majlis berkenaan melibatkan wakil daripada 13 persatuan wanita di negara ini.
Terdahulu, bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Datin Hajah Masni dan diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan doa memulakan bacaan Al-Quran beramai-ramai.
Sementara itu, tadarus Juz 2 Surah Al-Baqarah dibacakan oleh ahli-ahli persatuan di bawah payung MWNBD dan pentasmik bacaan oleh Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Abu Bakar.
Bacaan tahlil dan Doa Tahlil pula diketuai oleh Hajah Saadiah binti Haji Ibrahim daripada WI dan Doa Allah peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pengiran Hajah Rakiah daripada PGGMB.



