Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Myanmar akan buka sempadan kepada pelancong

    YANGON, 12 MEI – Junta Myanmar akan membenarkan pelancong untuk memohon visa selepas lebih dua tahun, media kerajaan berkata hari ini, mencetuskan seruan oleh sebuah kumpulan aktivis supaya pengembara asing tidak datang.

    Negara itu menutup sempadannya kepada pengunjung pada Mac 2020 pada permulaan pandemik koronavirus dalam usaha membendung peningkatan jangkitan.

    Ia diasingkan lagi selepas tentera menggulingkan kerajaan awam Aung San Suu Kyi pada Februari 2021, mencetuskan bantahan-bantahan besar dan tindakan berdarah tentera ke atas penentang.

    “Dengan matlamat untuk membangunkan sektor pelancongan… permohonan e-Visa (Pelancong) akan dibenarkan dan diterima mulai 15 Mei 2022,” menurut satu notis dalam Global New Light of Myanmar.

    Ia tidak memberi butiran mengenai bila pengunjung pertama dijangka tiba.

    Kumpulan-kumpulan aktivis memberi amaran bahawa kepentingan diri tentera terhadap ekonomi, termasuk lombong-lombong, bank, petroleum, pertanian dan pelancongan, bermakna dolar pelancong akan berkemungkinan masuk ke dalam tabung junta.

    “Meskipun pengunjung asing mengelakkan hotel-hotel dan pengangkutan yang dimiliki tentera Myanmar dan sekutu-sekutu mereka, ia akan masih membiayai junta menerusi bayaran visa, insurans dan cukai,” ujar kumpulan aktivis Justice for Myanmar.

    “Kami menyeru mereka yang mempertimbangkan percutian di Myanmar untuk memboikot,” seru kumpulan itu. – AFP

    Gambar fail menunjukkan pelancong tempatan dan asing mengunjungi tokong-tokong purba di Bagan lama, daerah Nyaung U, tengah Myanmar pada 30 Oktober 2019. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda