Oleh Mohamad Asyarmisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Ketua Jurulatih Myanmar, Kwi Yin menyatakan dia sedikit kecewa setelah membiarkan Pasukan Thailand beroleh jaringan penyamaan pada minit-minit akhir perlawanan pertama mereka dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Hassanal Bolkiah (HBT) bagi Belia ASEAN 2018, baru-baru ini.
Kwi mengulas perkara itu semasa sidang media sejurus selepas perlawanan mereka di Kompleks Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas, di mana mereka terikat 1-1 pada perlawanan itu.
“Namun begitu saya tidak kecewa dengan prestasi dan persembahan para pemain pada perlawanan ini kerana mereka telah banyak membuka peluang untuk mendahului jaringan. Nasib tidak menyebelahi pihak kami dan terpaksa akur dengan keputusan akhir perlawanan,” ujarnya lagi.
Jelasnya, Pasukan Thailand mempunyai penjaga gawang (Lakkonphon Nopphon) yang tangkas dan beraksi cemerlang dengan menghalang cubaan mereka semasa perlawanan itu.
“Cubaan dan asakan yang kami pamerkan membuktikan kami tidak berlengah dan mahu mencipta peluang dalam perlawanan itu,” katanya.
Tegas Kwi lagi, Pasukan Myanmar akan terus berjuang dalam perlawanan seterusnya dan memberikan tentangan hebat kepada Pasukan Timor Leste pada 27 April ini, sebelum bertemu pasukan tuan rumah, Negara Brunei Darussalam pada 30 April ini.