Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Tatkala perlawanan antara pasukan tuan rumah menentang Pasukan Thailand berlangsung, pada masa yang sama turut diadakan perlawanan bagi pasukan lain dalam Kumpulan A yang menyaksikan Pasukan Myanmar menang selesa 2-0 ke atas Pasukan Timor Leste di Kompleks Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas, malam ini.
Seawal minit pertama perlawanan, kedua-dua pasukan beraksi hebat dengan melakukan berbalas-balas serangan terhadap kubu pertahanan lawan.
Serangan berbalas serangan menambah lagi kerancakan suasana perlawanan, sehinggalah gol pertama yang dijaringkan oleh Pasukan Myanmar dijaringkan menerusi sentuhan daripada pemain yang menyarung jersi nombor 10, Win Naing Tun pada minit ke-27 perlawanan di separuh masa yang pertama.
Setelah jaringan tersebut, permainan masih seimbang dan masih belum bertukar rentak meskipun setelah Pasukan Myanmar mendahului dengan jaringan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Di babak separuh masa kedua, kedua-dua pasukan kelihatan begitu gigih melakukan serangan demi serangan namun gagal untuk membuat penyudahan dengan sempurna sehinggalah pada masa tambahan di separuh masa yang kedua di mana Pasukan Myanmar sekali lagi berjaya mengukuhkan kedudukan dengan menambah satu lagi gol melalui jaringan Hein Htet Aung.

Keputusan pada malam ini sekali gus menempatkan pasukan Myanmar berada di kedudukan pertama dengan memiliki empat mata setelah dua pusingan perlawanan dalam Kumpulan A Kejohanan HBT 2018.
Dalam sidang media yang diadakan sejurus selepas selesai perlawanan, Pengurus Pasukan Timor Leste, Gelasio Da Silva Carvalho menegaskan bahawa pasukan mereka akan berusaha dengan lebih gigih lagi di perlawanan seterusnya ketika menentang Pasukan Thailand.
Manakala bagi Pasukan Myanmar pula, pengurus pasukan itu, Kyi Lwin mengatakan bahawa kesemua pasukan dalam kumpulan A masih berpeluang untuk layak ke pusingan seterusnya.
Tegasnya, Pasukan Myanmar akan melakukan yang terbaiknya untuk melayakkan diri mereka ke separuh akhir kejohanan ini apabila menentang pasukan tuan rumah pada Isnin ini.