YANGON, 1 Jun – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata kerajaan Myanmar, semalam bersetuju memberikan akses masuk ke negeri Rakhine yang dilanda krisis selepas beberapa bulan berbalah berhubung cara menghantar pulang ratusan ribu pelarian Islam Rohingya.
Myanmar dan Bangladesh menandatangani perjanjian penghantaran pulang pada November lalu tetapi setakat ini cuma beberapa puluh pelarian kembali, dengan majoriti minoriti itu enggan pulang kecuali keselamatan dan kerakyatan mereka dijamin.
PBB berkata, keadaan di Rakhine tidak cukup untuk kepulangan selamat dan terhormat, tetapi draf perjanjian semalam membenarkan agensi itu mendapat akses ke Rakhine ‘termasuk tempat asal pelarian dan kawasan kemungkinan mereka akan ditempatkan yang tidak dibenarkan sejak keganasan bermula pada Ogos 2017’.
Akses itu juga bakal membolehkan agensi pelarian PBB untuk ‘menilai keadaan dan melakukan aktiviti perlindungan’, tambahnya tanpa mengulas lanjut. – AFP