PHNOM PENH, 30 MEI – Pemimpin tentera Myanmar dan semua kumpulan penentang mesti menamatkan konflik dengan segera atau negara itu berisiko berdepan krisis kemanusiaan yang dahsyat, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand, Profesor Dr Surakiart Sathirathai.
Surakiart, yang juga bekas Menteri Luar Thailand berkata proses damai yang gagal ditambah dengan kejadian gempa bumi baru-baru ini hanya menghukum jutaan rakyat Myanmar yang tidak bersalah.
Sekurang-kurangnya 3.5 juta orang telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik bersenjata manakala gempa bumi pada Mac lepas meragut lebih 3,800 nyawa.
Menurut Pelan Keperluan dan Tindak Balas Kemanusiaan Myanmar, seramai 15.2 juta penduduk atau satu daripada empat orang dijangka menghadapi kebuluran pada 2025.
Gencatan senjata sementara yang diumumkan oleh junta bagi memudahkan usaha bantuan pascagempa bumi akan tamat pada 31 Mei.
“2025 adalah tahun penting untuk keamanan di Myanmar. Kita perlu bekerjasama untuk memastikan gencatan senjata dan dialog inklusif dapat dilaksanakan sebelum pilihan raya diadakan.
“Pertempuran di lapangan yang kita saksikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah sampai ke tahap tiada pihak mampu meraih kawalan penuh ke atas wilayah di Myanmar,” kata Surakiart, yang kini merupakan Pengerusi Majlis Keamanan dan Rekonsiliasi Asia kepada Bernama dari Bangkok.
Ahli politik veteran itu berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri Thailand antara 2005-2006 dan merupakan Menteri Luar dari 2001-2005. – Bernama
