PHNOM PENH, 27 JUN – Konflik bersenjata yang berterusan menjejaskan usaha Myanmar untuk membanteras penanaman candu dan pengedaran dadah, sekali gus mengancam keselamatan negara.
Ketidakstabilan politik akibat pertempuran antara tentera dan kumpulan militia bersenjata, serta tekanan ekonomi yang semakin meningkat, mendorong petani di kawasan pergunungan terpencil untuk menanam pokok candu.
“Penanaman candu dan pengeluaran heroin merupakan isu besar di Myanmar suatu ketika dahulu. Kini, negara ini berdepan cabaran pengeluaran, penyeludupan dan perdagangan dadah sintetik seperti yang dialami banyak negara lain di seluruh dunia.
“Sebaliknya, kawasan yang dikuasai kumpulan bersenjata etnik menyaksikan peningkatan semula jumlah kawasan yang ditanam dengan pokok candu,” kata Menteri Dalam Negeri,
Leftenan Jeneral Tun Tun Naung, seperti dilaporkan media rasmi, The Global New Light of Myanmar.
Myanmar kini berusaha memperkenalkan tanaman alternatif seperti kopi dan teh, selain projek penternakan, bagi menggantikan penanaman candu dalam kalangan petani.
Sepanjang musim penanaman 2024-2025, pasukan keselamatan telah memusnahkan hampir 1,900 hektar (4,734.5 ekar) ladang candu.
Sempena Hari Antidadah Antarabangsa 2025 kelmarin, pihak berkuasa Myanmar memusnahkan 66 jenis dadah dan bahan kimia prekursor, termasuk heroin, candu, methamphetamine, ganja dan ketamin, bernilai RM1.3 bilion (AS$297 juta) di Yangon, Mandalay, Taunggyi dan Sagaing, menurut laporan media rasmi. – Bernama


