PHNOM PENH, 25 JUN – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Myanmar menggesa agar dialog antara kumpulan politik dan masyarakat awam diteruskan bagi membawa kestabilan dan keamanan di negara yang terus bergolak itu.
Dalam Forum Keamanan 2025 edisi kedua yang sedang berlangsung, suruhanjaya berkenaan menyatakan keamanan yang berkekalan bukan sahaja dapat mengurangkan dan menyelesaikan konflik, malah menjamin proses membuat keputusan yang inklusif, menghormati kepelbagaian serta menjamin hak sama rata di sisi undang-undang.
Forum Keamanan bertemakan From the Integration of Peace, Elections and Federalism Towards a Tranquil and Prosperous New Nation itu sedang dijalankan di Nay Pyi Taw pada hari ini sehingga 27 Jun.
Forum seumpama turut diadakan pada Mac lalu, seminggu sebelum gempa bumi besar melanda negara itu dan meragut lebih 3,700 nyawa.
Myanmar terjerumus dalam krisis politik selepas rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi. Sejak itu, konflik bersenjata semakin meruncing antara pasukan keselamatan, kumpulan etnik dan gerakan demokrasi. – Bernama


