Myanmar digesa henti ‘bunuh’ penunjuk perasaan

GENEVA, 4 MAC – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan sekurang-kurangnya 54 orang terbunuh dan 1,700 lagi ditahan sejak rampasan kuasa 1 Februari lalu di Myanmar, ketika Ketua Hak Asasi PBB menggesa tentera menghentikan kekerasan dan pembunuhan penunjuk perasaan.

Ulasan Ketua Hak Asasi PBB, Michelle Bachelet muncul selepas hari paling berdarah di Myanmar mengorbankan sekurang-kurangnya 38 penunjuk perasaan semalam, dengan pasukan keselamatan dilihat menembak orang ramai dengan peluru hidup.

Sehubungan Bachelet menggesa pasukan keselamatan ‘menghentikan tindakan keras mereka terhadap penunjuk perasaan yang mengadakan protes secara aman’.

“Tentera Myanmar perlu menghentikan pembunuhan dan tidak lagi memenjarakan penunjuk perasaan, sebaliknya berusaha ke arah rundingan damai.

“Sangat menjijikkan apabila pasukan keselamatan melepaskan peluru secara langsung ke arah penunjuk perasaan di negara sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, serangan itu turut menyasarkan petugas perubatan kecemasan dan ambulans yang berusaha merawat mereka yang cedera.

Pejabat Hak Asasi PBB itu mengesahkan sekurang-kurangnya 54 orang dibunuh pegawai polis dan tentera sejak 1 Februari lalu.

“Bagaimanapun, jumlah kematian sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana ini adalah angka yang dapat disahkan oleh pejabat kami,” katanya.

Jumlah korban meningkat dengan ketara dalam beberapa hari ini.

Pejabat Hak Asasi PBB mengesahkan 30 daripada 38 kematian yang dilaporkan oleh badan PBB lain semalam, dengan pembunuhan oleh pasukan keselamatan dilaporkan berlaku di Yangon, Mandalay, Sagaing, Magway dan Mon. – AFP

Penunjuk perasaan membina penghadang bagi menyekat polis di Mandalay, ketika mereka terus memprotes di Mandalay, Myanmar sehari selepas hari paling berdarah dicatatkan di negara itu. – AP