YANGON, 30 Mei – Myanmar masih belum melakukan secukupnya untuk menunaikan janjinya bagi menamatkan penggunaan askar kanak-kanak dan merekrut kanak-kanak di bawah umur, kata seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Tentera dan sejumlah kumpulan pemberontak telah bertahun-tahun lamanya mengerah askar di bawah umur untuk bertempur dalam beberapa konflik awam yang meletus di tanah sempadan terpencil Myanmar.
Tentera berjanji akan menamatkan penggunaan askar kanak-kanak pada tahun 2012, selepas ia menamatkan pemerintahan junta berdekad-dekad lamanya dan telah membebaskan beratus askar di bawah umur pada tahun-tahun selepas itu.
Namun pakar berkata kanak-kanak masih menghadapi risiko memandangkan rekrut di bawah umur baharu masih dikerah dalam tentera dan kumpulan pemberontak.

Meskipun perbincangannya yang ‘berterus-terang dan positif’ dengan pihak berkuasa dijalankan, wakil khas PBB bagi kanak-kanak dan konflik bersenjata, Virginia Gamba berkata tentera tidak memberikan bukti yang menunjukkan ia telah membebaskan askar kanak-kanak.
“Apabila kami meminta maklumat, apabila kami meminta pengesahan tempat, apabila kami bertanya mengenai penahanan kanak-kanak, ia adalah proses yang amat perlahan,” katanya kepada wartawan di Yangon semasa sesi akhir lawatan rasminya.
“Jawapan adalah amat perlahan. Ada kalanya hingga beberapa bulan, malah beberapa tahun.” – AFP