PHNOM PENH, 2 FEB – Myanmar yang terletak kawasan beriklim tropika sedang beralih kepada tenaga solar untuk meningkatkan bekalan tenaganya selepas infrastruktur kuasanya rosak akibat bencana alam dan konflik yang berterusan di negara itu.
Talian penghantaran dan loji janakuasa yang rosak tidak dapat menampung permin-taan tenaga yang semakin meningkat di negara Asia Tenggara kedua terbesar itu, yang mempunyai hampir 55 juta penduduk.
Media kerajaan, Global New Light of Myanmar melaporkan pada Januari bahawa sektor tenaga hanya mampu menjana sekitar 2,200 megawatt elektrik setiap hari, yang membekalkan hampir 50 peratus daripada jumlah permintaan.
Ini disebabkan oleh kemusnahan 14 talian penghantaran kuasa utama.
Taufan Yagi yang melanda pada September tahun lepas telah menyebabkan banjir di loji janakuasa hidroelektrik dan arang batu serta merosakkan talian elektrik di negara itu.
Konflik yang semakin meruncing antara tentera kerajaan dan kumpulan etnik bersenjata di beberapa bahagian di negara itu telah menjejaskan lagi pengeluaran elektrik.
Menurut media kerajaan, Myanmar mempunyai 28 loji kuasa hidro, 27 loji janakuasa gas dan lapan loji tenaga solar dengan jumlah kapasiti terpasang 6,371 megawatt (MW).
Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan Tenaga dan Tenaga Elektrik, Laksamana Tin Aung San berkata konflik dan bencana alam telah memusnahkan 12 loji kuasa hidro dan stesen janakuasa gas, lapor media kerajaan.
Ini secara langsung telah memberi kesan kepada penjanaan kuasa, menyebabkan jurang bekalan-permintaan dalam pasaran sekali gus memaksa kerajaan untuk melaksanakan projek tenaga boleh diperbaharui dengan lebih cepat. – Bernama