Myanmar mulakan kempen pilihan raya

YANGON, 8 SEPT – Myanmar hari ini memulakan kempen selama 60 hari bagi pilihan raya umum yang akan diadakan pada 8 November ini dan parti diketuai Aung San Suu Kyi dijangka memenanginya, dengan rakyat negara itu masih menyukai Suu Kyi meskipun reputasinya agar tercalar di luar negara.

Namun, pemimpin Myanmar itu dilihat mahukan kemenangan besar untuk mengatasi pengaruh tentera yang masih kuat.

Parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) pimpinannya memegang tampuk kuasa pada pilihan raya pertama 2015 negara itu selepas bebas daripada pemerintahan junta selama berabad-abad.

Meskipun masih di bawah ancaman pandemik COVID-19, ia tetap tidak menghalang penyokong untuk terus memberikan sokongan kepada NLD, namun pandemik mungkin memberi kesan kepada jumlah undi majoriti untuk parti itu.

“Saya sokong NLD kerana saya menyayangi Ibu Suu,” kata Zaw Min, 43, yang becanya dihiasi bendera parti itu, selain mengenakan baju, topi dan penutup mulut dan hidung berwarna merah.

Bagaimanapun, tentera masih memiliki kuasa besar di negara ini yang perlembagaannya digubal oleh bekas junta. Tentera masih menguasai tiga kementerian utama dan 25 peratus daripada kerusi parlimen, sekali gus memberi mereka kuasa veto membabitkan perundangan.

Bulan lalu, Suu Kyi melalui Facebook mengingatkan partinya perlu menang setiap undi pada pilihan raya kali ini. “Kita tidak boleh sekadar menang lebih 50 peratus kerusi seperti negara demokrasi lain,” katanya. – AFP

Ahli parti NLD menaikkan papan kempen dengan imej calon teratas parti termasuk pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi pada hari pertama tempoh berkempen di Naypyitaw, Myanmar, 8 September, meskipun negara itu masih dibelenggu COVID-19. – AP