Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Myanmar penjara 112 Rohingya

    YANGON, 10 JAN – Pihak berkuasa Myanmar telah menjatuhkan hukuman penjara selama dua hingga lima tahun ke atas 112 etnik Rohingya, termasuk puluhan kanak-kanak, kerana cuba untuk masuk ke Malaysia tanpa dokumen yang sah, menurut media tempatan kelmarin.

    Kumpulan tersebut telah ditahan pada bulan lalu di wilayah selatan Ayeyarwady dan telah dijatuhkan hukuman pada 6 Januari, menurut satu laporan Global New Light of Myanmar, yang memetik polis tempatan.

    Kanak-kanak telah dipindahkan ke ‘sekolah latihan belia’ berhampiran hab komersial, Yangon pada 8 Januari, menurut akhbar tersebut, tanpa memberikan maklumat lanjut.

    Laporan itu merujuk kepada kumpulan berkenaan sebagai ‘Bengalis’, menggunakan kata-kata hinaan kepada minoriti Muslim, yang dinafikan hak kewarganegaraan di negara majoriti beragama Buddha dan sering memerlukan kebenaran untuk mengembara.

    Tindakan ketenteraan di Myanmar pada tahun 2017 telah mengakibatkan ratusan ribu Rohingya melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh dengan kisah-kisah menyayat hati seperti pembunuhan, pemerkosaan dan dibakar hidup-hidup.

    Setiap tahun, ribuan etnik Rohingya mempertaruhkan nyawa mereka melalui perjalanan yang berbahaya dari kem-kem di Bangladesh dan Myanmar untuk memasuki Malaysia dan Indonesia.

    Baru-baru ini, sebuah perahu kayu yang membawa 200 orang pelarian Rohingya, kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, telah mendarat di pantai barat Indonesia, yang merupakan pendaratan kelima sejak November lalu, menurut pihak berkuasa tempatan. – AFP

    Pelarian Rohingya berkumpul setelah tiba dengan perahu di pantai Lamnga, wilayah Aceh, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda