PHNOM PENH, 15 OKT – Myanmar merayu kepada ASEAN supaya membantu usaha membina semula sekolah, pusat kesihatan dan hospital di negara itu yang musnah akibat bencana alam dalam tempoh lima tahun lalu.
“Kami memerlukan sokongan anggota ASEAN dan negara-negara lain untuk membina semula sekolah, pusat kesihatan serta hospital kami,” kata Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Bencana Myanmar, Lai Lai Aye kepada Bernama.
Beliau membuat rayuan itu semasa menghadiri Persidangan Jawatankuasa ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) ke-47 di Phnom Penh.
Beliau berkata kemudahan awam di wilayah seperti Mandalay, Sagaing, Bago dan Negeri Shan terjejas teruk akibat bencana alam.
“Negara kami telah berdepan begitu banyak bencana dalam lima tahun lepas iaitu Siklon Mocha dan setahun kemudian kami berdepan Siklon Yagi (September 2024), diikuti gempa bumi besar tahun ini. Kerajaan kami sedang giat menjalankan pelbagai usaha pemulihan, namun kami masih memerlukan sumber tambahan,” katanya.
Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) menegaskan kanak-kanak terus menjadi kumpulan paling terkesan akibat bencana alam dan konflik sivil di negara itu. Mereka mempunyai akses yang terhad kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pendidikan serta berdepan ancaman keselamatan.
Sejak 2021, sekitar 30 peratus daripada 3.5 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal tahun ini adalah kanak-kanak, menurut agensi antarabangsa itu. – Bernama


