MEIKTILA, MYANMAR, 24 JULAI – Myanmar bersedia untuk melancarkan satelit pertamanya, justeru menyertai gabungan negara lain yang bertujuan melindungi jutaan hidupan daripada bencana alam sekitar.
‘Kumpulan besar mikrosatelit’ dari sembilan negara Asia akan mengesan taufan, aktiviti seismik dan aliran air, selain menyediakan data mengenai penggunaan tanah, pertumbuhan tanaman dan wabak penyakit.
Ia merupakan penerokaan angkasa lepas yang pertama untuk Myanmar, negara yang kurang membangun dari segi ekonomi dalam satu konsortium yang termasuk Filipina, Vietnam dan Indonesia.
Faedah mengawasi alam sekitar dari ruang angkasa adalah berpadanan dengan jutaan dolar yang dibelanjakan oleh Myanmar, kata Kyi Thwin, pengarah Universiti Kejuruteraan Aeroangkasa Myanmar.
“Ia lebih murah jika kami membina satelit kami sendiri,” beritahunya kepada AFP dari ruang bangunan universiti berbentuk kapal angkasa lepas berhampiran bandar Meiktila, menambah teknologi itu akan membantu ekonomi Myanmar.
Sasaran projek adalah melancarkan kira-kira lima mikrosatelit setiap tahun, setiap satu mempunyai berat kurang 100 kilogram dan dengan jangka hayat lima tahun, sehinggalah konsortium itu mengawal kira-kira 50 peranti di orbit.
Sumbangan pertama Myanmar akan menelan kos AS$16 juta, sebahagian kecil daripada AS$100 juta atau lebih untuk satelit konvensional.
Pelancaran akan dilakukan di luar negara, tetapi Myanmar mempunyai pusat kawalannya sendiri, bekerja bersama rakan di Jepun. – AFP
