YANGON, 7 Nov – Sukarelawan belia akan bekerjasama dengan kerajaan Myanmar untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di kawasan terjejas konflik di bandar Buthidaung dan Maungtaw di Rakhine, lapor agensi berita China, Xinhua, memetik Global New Light of Myanmar.
Kursus latihan pertama program itu, bermula pada Isnin membabitkan 83 sukarelawan daripada pelbagai kaum dan agama dari seluruh Yangon.
Sukarelawan akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan setiap kumpulan akan bergilir-gilir melawat kawasan terjejas untuk melaksanakan program bantuan kemanusiaan selama 20 hari.
Ia merupakan sebahagian program di bawah projek nion Enterprise for Humanitarian Assistance, Resettlement and Development (UEHRD).

Pada 17 Okt, kerajaan Myanmar membentuk UEHRD, diketuai Kaunselor Negara Myanmar Aung San Suu Kyi, untuk melaksanakan projek jangka panjang yang bebas daripada konflik dengan lebih efektif.
Suu Kyi memberikan keutamaan kepada tiga tugas yang perlu dilaksanakan di Rakhine — penghantaran pulang pelarian yang melarikan diri ke Bangladesh dan menyediakan bantuan kemanusiaan secara efektif; petempatan semula dan pemulihan; membawa pembangunan ke wilayah itu dan mewujudkan keamanan berkekalan.
Pemberontak Tentera Penyelamat Rohingya Arakan melancarkan serangan baharu ke atas balai polis di Rakhine pada 25 Ogos, menyebabkan penduduk beberapa kawasan dalam daerah Maungtaw terpaksa berpindah. – Bernama