Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Myanmar sertai tenaga nuklear tajaan Rusia

    PHNOM PENH, 26 SEPT – Myanmar sedang memperkukuh rancangan untuk membangunkan tenaga nuklear awam bagi memodenkan ekonominya yang terjejas akibat konflik dalaman serta bencana alam.

    Kerajaan negara itu sedang memanfaatkan kepakaran nuklear Rusia untuk membina reaktor pertamanya, sebuah projek yang dilihat penting dalam memperkukuh keselamatan tenaga di negara yang hampir separuh penduduknya masih kekurangan bekalan elektrik yang stabil.

    Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing berkata Myanmar memerlukan tenaga nuklear untuk menyokong sektor-sektor ekonomi utama yang bakal memacu pertumbuhan negara, lapor media rasmi The Global New Light of Myanmar.

    “Myanmar perlu membangunkan teknologi nuklear dan menggunakan tenaganya secara aman.

    “Kami memerlukan sumber manusia mahir untuk membangunkan infrastruktur nuklear, seterusnya mengoptimumkan penggunaan tenaga nuklear dan teknologi radiologi dalam sektor tenaga, kesihatan, pertanian, penternakan, perindustrian serta pemuliharaan alam sekitar,” kata Min Aung Hlaing.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada bengkel Youth and Future Myanmar Science and Technology di Moscow pada Khamis.

    Myanmar menandatangani perjanjian dengan gergasi tenaga nuklear Rusia, Rosatom pada Mac lalu untuk membina sebuah loji tenaga nuklear modular kecil.

    Di bawah kerjasama itu, Rosatom akan membantu membina loji tenaga nuklear darat berkapasiti 110 megawatt, dengan potensi dikembangkan hingga 330 megawatt. – Bernama

    Presiden Rusia, Vladimir Putin, dan ketua tentera Myanmar, Min Aung Hlaing, bertemu di Moscow pada 25 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda