PHNOM PENH, 14 SEPT – Myanmar memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket pemerdagangan manusia yang menggunakan helah perkahwinan palsu untuk menyeludup wanita ke luar negara bagi tujuan eksploitasi.
Menteri Dalam Negeri negara itu, Leftenan Jeneral Tun Tun Naung, berkata banyak kes dikenal pasti melibatkan wanita tempatan direkrut melalui perkahwinan sah sebelum dibawa ke negara jiran, lapor media rasmi The Global New Light of Myanmar, kelmarin.
“Kaedah mengelirukan ini telah membawa kepada penemuan dan sabitan terhadap mereka yang mengatur perkahwinan antara wanita Myanmar dengan warga asing, termasuk orang tengah yang bertindak secara haram.
“Lebih banyak insiden telah dikesan membabitkan perekrutan dalam negara untuk menghasilkan serta menyebarkan video-video berunsur lucah melalui platform dalam talian,” katanya yang juga Pengerusi Badan Pusat bagi Membanteras Pemerdagangan Manusia di bawah kementerian itu.
Beliau mendedahkan modus operandi jenayah tersebut dalam perutusannya yang disiarkan dalam media rasmi sempena Hari Antipemerdagangan Manusia Myanmar yang ke-13 pada Sabtu. – Bernama


