Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Myanmar tingkat kesedaran mengenai penipuan kewangan

    YANGON, 23 JAN – Bank pusat Myanmar telah meningkatkan kesedaran untuk memerangi penipuan kewangan melalui pembayaran mudah alih dengan kerjasama kementerian dan organisasi kewangan yang berkaitan, lapor media tempatan hari ini.

    Menurut akhbar harian kerajaan, The Mirror hari ini, ceramah kesedaran tentang memerangi penipuan kewangan melalui pembayaran mudah alih telah berlangsung di Nay Pyi Taw kelmarin yang dihadiri oleh pegawai dari bank pusat, kementerian berkaitan, bank swasta dan organisasi kewangan.

    Bercakap pada majlis itu, Than Than Swe, Gabenor Bank Negara Myanmar, berkata bank pusat sedang berusaha untuk menubuhkan pasukan petugas yang bertindak untuk mencegah penipuan kewangan dan mengambil tindakan segera sebagai tindak balas terhadap kes penipuan yang dilaporkan melibatkan bank dan perkhidmatan kewangan mudah alih.

    Beliau juga berkata bank pusat itu memberi tumpuan untuk memastikan penggunaan meluas perkhidmatan kewangan mudah alih mengikut undang-undang dan peraturan, menggesa orang ramai melindungi diri mereka daripada penipuan dan bekerjasama dengan jabatan kerajaan.

    Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesatuan bagi Perancangan dan Kewangan, U Win Shein menekankan keperluan memahami keselamatan sistem dalam talian, terutamanya dengan peningkatan penggunaan media sosial berikutan perkembangan teknologi moden pada awal abad ke-21.

    Beliau juga menyebut Majlis Pentadbiran Negeri Myanmar telah mengeluarkan prosedur operasi standard untuk mendapatkan maklumat dan mengambil tindakan untuk mencegah dan melindungi daripada penipuan kewangan melalui rangkaian telekomunikasi.

    Menurut laporan media, sebanyak 482 kes penipuan dalam talian dilaporkan di Myanmar antara 2021 dan 2024, dan 23 warga Nigeria, seorang warga Thailand dan 59 warga Myanmar telah didakwa atas kes tersebut. – Xinhua

    Gambar ANN-The Star
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda