Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Myanmar umum gencatan senjata selepas konflik

    YANGON, 12 JAN – Tentera Myanmar dan pakatan kumpulan etnik minoriti bersenjata mengumumkan gencatan senjata hari ini selepas konflik selama berbulan-bulan yang telah meragut ratusan nyawa dan menjadi ancaman terbesar kepada junta sejak ia merampas kuasa pada 2021.

    Konflik telah memuncak di negeri Shan utara Myanmar sejak Oktober, apabila pakatan kumpulan etnik minoriti melancarkan serangan terhadap junta.

    Perikatan itu telah merampas beberapa bandar dan hab sempadan yang penting untuk perdagangan dengan China.

    “Dengan bantuan kemudahan China, terdapat pertemuan di (bandar China selatan) Kunming. Kami telah mencapai perjanjian gencatan senjata,” kata jurucakap junta, Zaw Min Tun kepada AFP.

    Tar Bhone Kyaw dari Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA) – seorang anggota perikatan berkata mereka telah ‘bersetuju untuk membuka semula perdagangan sempadan’ dengan China.

    China juga mengumumkan gencatan senjata hari ini.

    “Kedua-dua pihak bersetuju dengan gencatan senjata serta-merta untuk melepaskan anggota tentera dan menyelesaikan pertikaian dan tuntutan yang berkaitan melalui rundingan secara aman,” kata jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning.

    Rundingan itu berlangsung dengan ‘pengantaraan dan kemudahan pihak China’ pada Rabu dan Khamis di bandar Kunming di wilayah Yunnan, yang bersempadan dengan Myanmar, katanya. – AFP

    Seorang lelaki melihat rumah yang musnah selepas serangan udara dan artileri di kem perpindahan Mung Lai Hkyet, di Laiza, Myanmar. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda