Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mydin perjelas penyebab kerugian

    KUALA LUMPUR, 6 Feb – Penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS merupakan faktor utama yang menyebabkan kerugian ditanggung Mydin Mohamed Holdings Bhd pada 2016, dan bukan disebabkan oleh pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau dasar-dasar kerajaan.

    Pengarah Urusannya Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata pengusaha pasar raya besar Mydin di seluruh negara mengalami kerugian disebabkan penurunan nilai ringgit kerana kebanyakan daripada produknya diimport.

    “Paras ringgit berbanding dolar AS adalah pada 3.65 pada 1 April, 2015, berbanding kira-kira 4.42 setiap dolar AS ketika ini. Itulah berapa banyak ringgit yang telah turun dalam tempoh itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Ameer berkata kelemahan ringgit berbanding dolar AS telah menyebabkan Mydin terpaksa membayar harga lebih tinggi lagi bagi produk yang dipesannya, tanpa menaikkan harga kepada pengguna.

    Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan laporan yang tersebar dalam media sosial mendakwa pasar raya besar itu mengalami kerugian disebabkan dasar dan pentadbiran kerajaan sekarang.

    Ameer menegaskan beliau tidak menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang didakwa dalam laporan-laporan itu, dan tidak pernah mengkritik pentadbiran sekarang, walaupun ada beberapa dasar-dasar yang diperkenalkan mungkin menjejaskan perniagaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda